• Sun. Jun 4th, 2023

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Calon PAS bersih rasuah tiada masalah isytihar harta

Nov 7, 2022
Spread the love

Pas yakin akan mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana bebas daripada rasuah mahupun salah guna kuasa.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, gabungan parti itu dalam Perikatan Nasional (PN) mempertandingkan lebih 160 calon di seluruh negara termasuk 64 daripada Pas.

“Tidak ada pemimpin kami yang ada rekod di mahkamah, sama ada yang sudah dituduh, sedang mahupun yang akan dituduh dalam waktu terdekat ini.

“Sebab itu, kami berani tampil dengan tema bersih kerana semua calon Pas bersih daripada tuduhan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Kami yakin rakyat Malaysia beri mandat,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Parlimen Kota Bharu, di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, Pas bersama Perikatan Nasional (PN) berkemampuan membentuk sebuah kerajaan yang bersih dan stabil selepas PRU15 berdasarkan pengalaman 30 bulan parti itu berada dalam Kabinet di bawah pemerintahan dua Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (17 bulan) dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (13 bulan) sebelum ini.

Berkaitan isu intergriti bagi pengisytiharan harta, Takiyuddin berkata, calon-calon gabungan itu lebih-lebih lagi daripada parti Pas tidak mempunyai masalah untuk berbuat demikian.

“PN sebelum ini terdapat 12 orang berada di dalam Kabinet sudah pun mengisytiharkan harta kepada Perdana Menteri.

“Saya sendiri sudah isytiharkan pada Muhyiddin dan Ismail. Tidak timbul masalah kerana sebahagian calon-calon PN sebelum ini menteri, timbalan menteri dan ahli-ahli parlimen yang umumnya sudah mengisytiharkan harta masing-masing,” katanya.