• Sun. Feb 25th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Chegubard serah dokumen ke SPRM dakwaan salah guna wang zakat

Feb 10, 2023
Spread the love

SEREMBAN: Selepas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam mengesahkan tidak menemukan sebarang unsur kesalahan jenayah rasuah dalam isu dakwaan penyelewengan wang zakat di Negeri Sembilan, Pengerusi (Penaja) Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin hari ini tampil dengan beberapa dokumen berhubung dakwaan tersebut.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Che’gu Bard hadir ke Pejabat SPRM Negeri Sembilan di sini kira-kira pukul 11 pagi tadi bagi menyerahkan dokumen tersebut kepada pihak SPRM supaya dakwaan itu disiasat semula.

“Masyarakat seharusnya tahu apa sebenarnya yang berlaku dan SPRM digesa menyiasat dakwaan itu secara serius. Wang zakat ini merupakan isu sensitif umat Islam dan penjelasan tuntas diperlukan oleh rakyat Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jelas Badrul Hisham, pada tiga minggu lepas, beliau telah menerima beberapa dokumen berkaitan yang menggambarkan terdapat penyelewengan wang zakat di Negeri Sembilan. 

“Sebahagian dokumen tersebut juga telah mula tular di media sosial dan setelah meneliti dan mempercayai ada kebenaran dokumen yang diterima maka sebahagian dari dokumen tersebut telah saya muat naik ke Facebook bagi menarik perhatian pihak berkaitan seperti Exco Agama Islam Negeri Sembilan dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS)” katanya lagi.

Pada 8 Februari lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Agama Islam negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan menyerahkan kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlaku salah laku dan rasuah dalam MAINS.

Semalam, SPRM pula mengesahkan hasil siasatan berhubung isu dakwaan penyelewengan wang zakat melibatkan MAINS Zakat Sdn. Bhd. tidak menemukan sebarang unsur kesalahan jenayah rasuah di bawah Akta SPRM 2009.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, siasatan kes tersebut dibuka di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pecah amanah dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan.

Selain itu, Pengerusi MAINS, Datuk Seri Dr. Abdul Aziz Abdul Kadir pula mengeluarkan kenyataan menafikan tohmahan dan fitnah yang disebarkan melalui media sosial berkenaan salah guna wang zakat di Negeri Sembilan.

Abdul Aziz berkata, MAINS telah membuat beberapa laporan polis terhadap pemilik media sosial terbabit susulan tohmahan dan fitnah yang disebarkan pada tahun 2019.

Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan berlakunya penyelewengan pengurusan wang zakat di Negeri Sembilan.