• Tue. Nov 12th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

China sambung lockdown angkara Covid-19

Sep 9, 2022 ,
Spread the love

BEIJING – Bandar mega China, Chengdu melanjutkan perintah berkurung Covid-19 di kebanyakan kawasan dengan mengekalkan sekatan yang menyebabkan perniagaan terhenti dan mengurung kebanyakan daripada 21 juta penduduknya ke kediaman masing-masing.

China merupakan ekonomi utama terakhir yang mengamalkan strategi sifar-Covid. Strategi itu menyaksikan Beijing cuba mengawal penularan koronavirus melalui langkah penutupan segera, ujian saringan besar-besaran dan tempoh kuarantin yang panjang.

Chengdu yang merupakan ibu negeri wilayah Sichuan, barat China telah melaksanakan perintah berkurung Covid-19 selama seminggu selepas bandar raya itu melaporkan beratus-ratus kes Covid-19.

Perintah berkurung itu dijangkan dimansuhkan kelmarin tetapi pemerintah tempatan menyatakan bahawa ‘seluruh Chengdu akan meneruskan perjuangan ke arah sifar penularan dalam komuniti.’

Pihak berkuasa akan ‘berusaha keras selama seminggu untuk merealisasikan matlamat penularan sifar komuniti di seluruh bandar’, tambahnya.

“Langkah anti wabak mula menampakkan hasil di seluruh bandar ini tetapi risiko penularan komuniti masih wujud di beberapa kawasan,” kata pentadbiran Chengdu dalam notis awamnya.

Semua penduduk yang dikenakan perintah berkurung akan menjalani ujian saringan setiap hari, dan setiap isi rumah dibenarkan menghantar seorang setiap hari untuk membeli barangan runcit dan bekalan lain.

Chengdu mencatatkan 116 jangkitan tempatan baharu semalam dengan lebih separuh daripada mereka tidak menunjukkan gejala, demikian menurut angka suruhanjaya kesihatan wilayah.

Premis perniagaan di Chengdu turut ditutup buat sementara waktu, dengan pembuat kereta Sweden, Volvo menggantung pengeluaran di sebuah kilang di bandar itu yang menggaji hampir 3,000 orang pada minggu lalu.

Sementara itu, di bandar Shenzhen yang merupakan hab teknologi dan perniagaan China, pihak berkuasa tempatan melonggarkan beberapa sekatan pada minggu ini selepas lonjakan virus mendorong pihak berkuasa mengarahkan 18 juta penduduk bandar itu supaya tidak meninggalkan rumah mereka.

China melaporkan 1,334 jangkitan domestik baharu semalam dengan majoritinya tidak menunjukkan gejala, demikian menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan. – AFP