TUTUP PINTU KERJASAMA DENGAN PH, CUKUPLAH 22 BULAN MENGAJAR KITA
Oleh: Dr. Nabila Din
- Pakatan parti-parti politik dalam satu gabungan sangat penting ketika menghadapi pilihanraya, terutama Pilihanraya Umum (PRU) seperti ditunjukkan dalam PRU-PRU lepas termasuklah kemenangan mengejut Pakatan Harapan (PH) dalam PRU Ke-14.
- Untuk PRU-15, idea itu kembali diwar-warkan, kali ini dengan terma ‘Khemah Besar’, sekurang-kurangnya sesama pakatan parti membahagi kerusi agar diminima pertembungan antara satu sama lain atau istilah lain digunakan ‘satu lawan satu’.
- PAS antara parti terkehadapan dalam mengemukakan gagasan ‘satu lawan satu’ – dalam erti kata pertarungan dalam PRU antara perikatan parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) menentang pakatan PH yang didominasi oleh DAP, yang terbukti berakar kukuh dengan perjuangan Malaysian Malaysia.
- Itulah impian perpaduan ummah PAS melalui penegasan acapkali oleh Presiden dan komentar Mursyidul Amnya sejak berzaman bahawa PAS, Bersatu dan Umno termasuklah parti-parti PN/BN lain perlu bersatu, malah itulah manifastasi Piagam MN pada 14 September 2019.
- Itulah keputusan padu PAS di semua peringkat termasuklah di Muktamar dan Majlis Syura Ulama (MSU) untuk ‘Memperkukuhkan MN dan mempertahankan PN’. Itu juga niat seluruh kepimpinan dan organisasi PAS Pusat seperti Naib Presiden, Dewan Ulamak, Dewan Himpunan Pendokong serta PAS negeri-negeri melalui kenyataan media pada 22 dan 23 Ogos 2022 lalu – ‘Satu lawan satu’ atau ‘PN dan MN lawan PH’.
- Namun, naratif itu cuba diganyangkan dengan hasrat beberapa kerat PN cuba memancing PH sebagai rakan untuk duduk bersama, lantas menghalakan peluru dan segala meriam ke arah UMNO/BN yang mahu dijadikan musuh yang wajib dikalahkan.
- Persoalannya, jika berjaya kerjasama pakatan PRU sebegitu – PN/PH lawan BN – adakah PN yakin akan menang? atau timbul persoalan lain, adakah DAP, yang diketahui sejarah pemerintah 22 bulannya cuba merobek asas perlembagaan, akan kalah. Sebab mustahil PN menang dan DAP kalah berada dalam kawah yang sama.
- Bagi ahli PAS, perjuangan mendaulatkan Islam adalah prioriti daripada segalanya, termasuk menang dalam pilihanraya dengan merobohkan nilai umat Islam dan hak bumiputera. PAS mahu menang dalam pilihanraya yang menguatkan asas Islam bernegara, mempasak akidah perjuangan, bukan sebaliknya.
- Justeru, PAS perlu bangkit mempertahankan serta berusaha merapatkn saf menghadapi PRU-15 melalui PN/MN dan jangan sekali-kali membiarkan agenda jahat dan kianat untuk tahaluf siasi dengan PH/DAP menghampiri jamaah ini.
- Tutuplah pintu kerjasama dengan PH/DAP selama-lamanya. Kalau boleh kuncikan niat untuk berpeluk dengan mereka ini melalui usul sebulat suara yang jitu dalam Muktamar PAS dan Dewan-dewan awal September nanti.