• Sun. Oct 1st, 2023

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

DAP gesa Kerajaan Perpaduan hapuskan SOSMA

Jan 20, 2023
Spread the love

Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P Ramasamy mendakwa SOSMA akta kejam.

Pemimpin DAP hari ini mendesak kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) menghapuskan terus Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang disifatkan kejam apabila tahanan tidak boleh diadili mengikut proses undang-undang.

Desakan itu disuarakan Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P Ramasamy yang turut melihat akta itu bertentangan dengan perikemanusiaan kerana pihak berkuasa boleh menangkap sesiapa tanpa waran dengan hanya mempercayai pihak tersebut terlibat dalam kesalahan keselamatan.

“Individu boleh ditahan maksimum 28 hari tanpa dibicarakan di mahkamah dan akses boleh ditangguhkan kepada keluarga tahanan serta peguam sehingga 48 jam selepas ditahan.

“Malah, ikat jamin juga adalah tidak dibenarkan kepada tahanan-tahanan, saya tidak bermaksud bahawa tahanan SOSMA tidak bersalah, tetapi kenapa mereka tidak ditahan di bawah undang-undang sedia ada seperti di bawah Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di Komtar, George Town hari ini (20 Januari 2023).

Kosmo melaporkan turut hadir pada sidang akhbar itu ialah ahli keluarga 33 individu dari Kedah yang dikenakan tahanan di bawah SOSMA sejak 2020 tanpa dibicarakan.

Ramasamy, yang juga Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang berkata pada masa ini, terdapat lebih 100 tahanan yang ditahan di seluruh negara tanpa dibicarakan di mahkamah di bawah SOSMA.

“Kami (DAP) gesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membantu mereka yang ditahan di bawah SOSMA agar mereka boleh dilepaskan daripada tahanan dan kemudian dibicarakan di mahkamah.

“Kami juga menggesa Kerajaan Pusat untuk memansuhkan SOSMA, sepertimana kerajaan menghapuskan undang-undang kejam iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),” katanya.

Dalam pada itu, katanya, tahanan SOSMA telah melalui pelbagai keperitan seperti masalah kemerosotan tahap kesihatan, masalah kebersihan dan impak negatif psikologi semasa berada dalam penjara.

“Kebanyakan tahanan SOSMA adalah berusia muda iaitu 40 tahun ke bawah dan mereka berasal dari keluarga berpendapatan rendah serta merupakan ketua keluarga yang menyara hidup ahli keluarga yang lain.

“Ahli keluarga tahanan SOSMA juga telah mengalami pelbagai keperitan terutamanya masalah kekangan kewangan yang serius bagi perbelanjaan sara hidup dan juga terpaksa mengeluarkan wang bagi mendapatkan khidmat peguam untuk mewakili tahanan,” ujarnya.

Selain itu, tambahnya, keluarga kesemua tahanan SOSMA turut merayu kes difailkan terhadap tahanan agar mereka dapat membantu tahanan mengikut undang-undang.