KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
DAP ISLAMOFOBIA: APAKAH SALAH MENYATAKAN KEBENARAN?
29 November 2022 | 4 Jamadil Awal 1444H
- Ada yang tidak senang duduk apabila Presiden PAS, Tan Sri Dato Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang menyatakan pendapat beliau berkenaan DAP sebagai parti ekstrim dan mempromosi Islamofobia. Apakah salah jika menyatakan kebenaran di era kerajaan baharu hari ini?
- Hakikatnya, apa yang disebutkan oleh Presiden PAS adalah berasaskan fakta yang benar. Dalam setiap perlakuan serta tindak tanduk, DAP terlihat jelas menolak asas Perlembagaan Persekutuan, bersikap Islamofobik dan rasis.
- Kenyataan tersebut disokong oleh tindakan dan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan DAP seperti berikut:
i) Sehingga kini, DAP masih berpegang pada Deklarasi Setapak yang berhasrat mengubah status Bumiputera dalam Malaysia. Deklarasi tersebut tidak ditarik balik sehingga kini.
ii) Gesaan Senator Lantikan DAP, Nga Hock Cheh pada April 2019 untuk menggugurkan status kaum termasuk status Islam pada MyKAD, kononnya atas dasar mewujudkan identiti nasional.
iii) Pendirian Ngeh Koo Ham pada tahun 2014, yang menyatakan hak untuk murtad patut diberikan kepada orang Islam. Sehingga kini kenyataan tersebut tidak ditarik balik.
iv) Kenyataan Nga Kor Ming pada 14 November 2022 sewaktu kempen PRU-15, yang menyatakan gabungan PN sebagai kerajaan Taliban hanya kerana ketegasan PAS berkenaan kawalan aktiviti maksiat.
v) Kenyataan tokoh besar DAP, Lim Kit Siang pada Oktober 2022 yang menyebut Malaysia tidak memerlukan Ketuanan Melayu, sebaliknya hanya perlukan Ketuanan Malaysia.
- Kesemua kenyataan dan pendirian ini, jelas menunjukkan pada kita tentang sifat malignan DAP terhadap fabrik sosial negara. Malah, tak perlu tunggu Presiden PAS membuat laporan polis pun, rakyat sendiri sudah lama melaporkan perbuatan dan tindak-tanduk DAP untuk diambil tindakan mengikut lunas undang-undang. Antaranya:
i) Laporan polis oleh NGO Islam pada 22 Februari 2022 terhadap keceluparan pemimpin DAP, P Ramasamy terhadap Majlis Agama Islam Perlis,
ii) Laporan polis oleh Pemuda PAS Malaysia pada 7 Julai 2021 terhadap kenyataan penghinaan oleh Lim Kit Siang berkaitan isu Kerajaan Allah, dan
iii) Laporan polis oleh NGO UMMAH pada 19 November 2022 berkenaan kempen rasis oleh tokoh DAP, Hew Kuan Yew
- Apa yang disebut oleh Presiden PAS bukanlah suatu fitnah, dan beliau hanya menyatakan perkara sebenar yang berlaku. Hakikatnya, PAS mengakui dan menjunjung perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong terhadap kerajaan hari ini. Semua kerajaan yang terbentuk dan mendapat perkenan Baginda adalah sah di sisi Perlembagaan, sama sepertimana kerajaan Perikatan Nasional yang terbentuk pada Mac 2020 walaupun dituduh kerajaan pengkhianat dan tebuk atap.
- Kebenaran itu pahit untuk ditelan. Namun sepahit mana kebenaran itu, ia harus diakui. Sama seperti hakikat kerajaan ini dianggotai sebuah parti yang bersifat pesimis terhadap Islam dan bangsa Melayu, walau bagaimana pun cuba dinafikan, ia tidak pernah mengubah fakta sebenar halatuju dan perjuangan mereka.
Hanafi Zulkapli
Naib Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia