• Fri. Feb 23rd, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

DAP mahu Perlembagaan negara sekular seperti kerangka awal sebelum 1957

Sep 4, 2023
Spread the love

KUALA LUMPUR: Matlamat DAP untuk ‘memulihkan’ Perlembagaan negara supaya menjadi sekular sama seperti draf awal Perlembagaan yang dirangka sebelum 1957 antara sebab pihak tertentu menuntut parti itu meminda perlembagaannya, sekali gus ia dapat meyakinkan kembali orang Melayu kepada DAP.

Mengikut catatan sejarah, draf awal Perlembagaan Persekutuan dibentang Suruhanjaya Reid yang dibentuk pada 21 Mac 1956 adalah berbentuk sekular, namun selepas mendapat bantahan pemimpin Melayu dan golongan pembesar ketika itu, kedudukan raja Melayu, agama Islam, bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu mula dimasukkan sebagai kerangka penting Perlembagaan serta dipertahan hingga kini.

Pengamal undang-undang yang juga penganalisis politik, Datuk Shamsuddin Nawawi, berkata DAP terus memperjuangkan bahawa Perlembagaan asal negara ini sekular dan ia sama seperti matlamat yang digariskan dalam perlembagaan parti itu.

“DAP sebenarnya mahu meminda Perlembagaan Malaysia balik semula kepada sekular. Hujahlah bagaimana pun, DAP tetap mahu pemerintahan sekular.

“Pengertian sekular DAP ialah kesamarataan dalam semua perkara termasuk agama dan 18 matlamat (dalam perlembagaan DAP) itu jelas,” katanya mengulas gesaan pihak tertentu yang meminta DAP meminda perlembagaannya bagi memulihkan sokongan Melayu.

Media melaporkan, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata DAP tidak perlu menggugurkan agenda Negara Sekular dan slogan ‘Malaysian Malaysia’ kerana persefahaman sudah dicapai antara parti dalam gabungan sebelum terbentuknya Kerajaan Perpaduan.

Ini kerana, katanya, DAP tidak pernah meminta parti lain meminda perlembagaan, selain Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri sudah berpuas hati dengan penjelasan DAP sebelum BN bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) membentuk Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, mengulas mengenai Malaysia Malaysian pula, Shamsuddin berkata, konsep itu perlu dinilai dan disoroti sejak dari mula ia digagaskan oleh mendiang bekas Perdana Menteri pertama Singapura, mendiang Lee Kuan Yew.

“Manifestasi perjuangan Kuan Yew waktu itu diterjemahkan dalam Perlembagaan Singapura apabila (negara itu memutuskan) keluar dari Malaysia pada 1967.

“‘The Constitution of the Republic of Singapore’ secara jelas meletakkan Melayu sebagai kaum minoriti yang mendapat perlindungan kerajaan kerana Melayu adalah ‘the indigenous people’ (penduduk asli atau pribumi).

“Untuk (konsep) sama rata, bahasa Melayu, Mandarin, Tamil dan Inggeris adalah bahasa rasmi dengan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Perjuangan Kuan Yew itu diteruskan oleh DAP,” katanya.

Beliau berkata, sungguhpun konsep Malaysia Malaysian itu tidak dizahirkan secara verbatim dalam perlembagaan DAP, namun amat jelas seperti terkandung dalam matlamat parti itu yang digariskan dalam Fasal II perlembagaannya.

“Matlamat pentingnya ialah kesamarataan dalam semua aspek kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama, malah pembahagian Bumiputera dan bukan Bumiputera juga tidak dipersetujui DAP (jika dirujuk Deklarasi Setapak),” katanya.

Justeru, Shamsuddin berkata, jika mahu dihujahkan sama ada perjuangan DAP itu bercanggah atau tidak dengan Perlembagaan Persekutuan, ia perlu dilihat dalam matlamat perlembagaannya.

“Antara yang ketara ialah matlamat mengembalikan Perlembagaan Persekutuan kepada rangka sekular yang asal. Sama ada DAP mendapat sokongan orang Melayu atau tidak, itu soal politik.

“Mungkin ada yang menyokong sebab pada mereka, Melayu mereka tidak terjejas, mereka tetap Islam dan mungkin atas sebab lain. Kepada yang tidak menyokong DAP, juga ada alasan masing-masing,” katanya.

  • BH