SEJAK menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelihatan begitu jelas mengutamakan usaha untuk membina hubungan dua hala yang lebih kukuh dengan China.
Datuk Seri Anwar memilih secara terbuka mengumumkan sokongan kepada China dan kepimpinan Presiden Xi Jinping dengan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) beliau.
Dalam tempoh tidak sampai setahun, sudah dua kali Datuk Seri Anwar membuat lawatan ke China, pertama pada 29 Mac – 2 April 2023 dan kedua pada 17 September 2023.
Datuk Seri Anwar begitu berbangga dengan hasil lawatan rasmi pertama beliau ke China, sambutan diterima dikatakan hebat dan luar biasa serta hasilnya memberi manfaat besar.
Paling dibanggakan ialah kejayaan beliau meraih komitmen pelaburan tertinggi yang pernah dicatat dalam sejarah Malaysia berjumlah RM170 bilion daripada pelabur China.
RM100 bilion komitmen pelaburan ini terhasil daripada pertemuan Datuk Seri Anwar bersama 50 pelabur berprofil tinggi dan tokoh korporat China pada satu sesi meja bulat.
RM70 bilion komitmen pelaburan lagi adalah terhasil daripada pemeteraian 19 Memorandum Persefahaman (MoU) pada Forum Perniagaan Malaysia-China 2023.
Datuk Seri Anwar begitu berbangga dengan hasil lawatan rasmi pertama beliau ke China, sambutan diterima dikatakan hebat dan luar biasa serta hasilnya memberi manfaat besar.
Paling dibanggakan ialah kejayaan beliau meraih komitmen pelaburan tertinggi yang pernah dicatat dalam sejarah Malaysia berjumlah RM170 bilion daripada pelabur China.
RM100 bilion komitmen pelaburan ini terhasil daripada pertemuan Datuk Seri Anwar bersama 50 pelabur berprofil tinggi dan tokoh korporat China pada satu sesi meja bulat.
RM70 bilion komitmen pelaburan lagi adalah terhasil daripada pemeteraian 19 Memorandum Persefahaman (MoU) pada Forum Perniagaan Malaysia-China 2023.
Melalui lawatan kedua beliau pula, tiga MoU bernilai RM19.84 bilion terhasil dengan Shanghai Sus Environment, Beibu Gulf Port Group dan GuangXi Beibu Gulf International Port Group.
Bagaimanapun, sejak pengumuman mengenai pemberian komitmen pelaburan dari China ini dibuat, tidak banyak perkembangan mengenai kemasukan pelaburan sebenarnya.
Hal ini boleh dibandingkan dengan tindakan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, mendekati China pada tahun 2016 selepas mendakwa Filipina diperlakukan seperti anjing oleh Washington.
Dalam lawatan beliau ke Beijing pada tahun itu, Duterte berbangga dengan komitmen pinjaman China bernilai $24 bilion dan janji pelaburan untuk rancangan pembangunan infrastruktur.
Duterte dengan aktifnya menggalakkan pelaburan China di Filipina dan bekerjasama dengan Kerajaan China untuk membiayai projek infrastruktur andalannya sendiri – ‘Bina, Bina, Bina.
Duterte juga mengabaikan pertikaian wilayah dengan Beijing di mana ekoran itu Beijing juga tidak mengurangkan gangguan terhadap tentera dan penduduk Filipina di Laut China Selatan.
Tindakan Duterte merendahkan isu-isu perbatasan maritim dengan harapan untuk mendapatkan akses kepada pembiayaan infrastruktur di bawah BRI akhirnya memakan diri.
Ini kerana sehingga ke akhir tempoh perkhidmatan beliau sebagai Presiden Filipina pada tahun 2022 banyak daripada pelaburan yang dijanjikan oleh China tidak terealisasi.
China difahamkan hanya memulakan dua daripada projek infrastruktur yang dijanjikan, sebuah jambatan dan projek pengairan, dan kedua-duanya dikatakan menghadapi masalah besar.
Walaupun usaha-usaha Duterte untuk menarik pelabur China, bahagian China dalam pelaburan langsung asing bersih (FDI) Filipina masih kecil – hanya 1.12 peratus pada tahun 2021.
Jadi, Duterte pada akhirnya dituduh memperlekehkan diri beliau di hadapan Beijing tetapi tidak mendapat apa-apa hasil daripada hubungan lebih rapat dengan China tersebut.
Inilah juga yang dibimbangi akan berlaku kepada Malaysia di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar yang kelihatan seperti naif dalam berhadapan dengan kuasa besar seperti China.
Datuk Seri Anwar kelihatan terlalu berlembut dengan China demi menjaga hati pemimpinnya dengan harapan akan memperolehi pelaburan yang dijanjikan oleh China.
Dalam isu pertikaian sempadan di Laut China Selatan, Datuk Seri Anwar tiba-tiba menyebut Malaysia sedia berunding dengan China atas tuntutannya ke atas sebahagian perairan Malaysia.
Bila kapal penyelidik yang dibayangi kapal militia maritim China dilaporkan menceroboh perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia tidak ada bantahan kuat dikeluarkan.
Bila China mengeluarkan peta standard China edisi 2023 yang meliputi sebahagian besar kawasan perairan ZEE Malaysia tidak ada tentangan benar-benar tegas diberikan.
Paling mutakhir, Datuk Seri Anwar mengumumkan beberapa kali akan menganugerahkan kontrak rangkaian 5G kedua kepada syarikat gergasi China, Huawei.
Ini dibuat walaupun banyak kebimbangan disuara mengenai risiko penyertaan Huawei terhadap keselamatan negara, khasnya dari sudut kebocoran data-data sensitif negara.
Semoganya penasihat-penasihat Datuk Seri Anwar akan berbuat sesuatu untuk membetulkan keadaan. Apabila sudah terhantuk baru tengadah, tentulah tidak ada gunanya lagi.
EIKHWAN ALI
Ketua Jabatan Pengurusan Strategik & Advokasi Dasar di Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) – HARAKAHDAILY 16/10/2023