DATA peribadi berjuta-juta rakyat Malaysia berisiko terdedah disebabkan ciri keselamatan yang lemah dalam aplikasi MyJPJ yang dilancarkan baru-baru ini, kata Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Menurutnya, aplikasi itu dikatakan terlalu mudah diakses oleh orang ramai dengan hanya menggunakan nombor kad pengenalan.
Jelas beliau, nombor kad pengenalan pula mudah didapati terutamanya dengan membuat semakan melalui daftar pemilih.
“Kementerian Pengangkutan baru-baru ini melancarkan Lesen Kenderaan Bermotor (e-LKM) dan Lesen Memandu Malaysia digital (e-LMM).
“Data semua menteri dan timbalan menteri boleh diperolehi hanya melalui satu ciri dengan nombor MyKad.
“Saya boleh tunjukkan bagaimana ketirisan ini boleh berlaku dan jika ia berlaku, data 33 juta rakyat Malaysia boleh diakses oleh mana-mana individu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, data kira-kira 16 juta lesen memandu juga berisiko terdedah yang mana beliau tidak bersetuju dengan penggunaan aplikasi itu ketika menjadi Menteri Pengangkutan.
“Saya rasa 16 juta butiran lesen memandu itu ada dan ini kurang cermat. Dulu saya jadi Menteri semasa diberikan taklimat (aplikasi ini) saya tidak setuju kerana ia bahaya,” katanya.
Walaupun mengakui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan ciri keselamatan tambahan, beliau berkata, ia masih tidak mencukupi.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mengambil langkah segera untuk menangani isu itu dan meneliti semula keseluruhan sistem.
“Ini melibatkan data yang sepatutnya dilindungi mengikut Akta Perlindungan Data,” katanya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sebelum ini mengumumkan projek perintis penggunaan mod paparan digital e-LKM dan e-LMM.
E-LKM ialah versi e-pelekat cukai jalan untuk kenderaan milik persendirian, manakala e-LMM ialah versi e-lesen memandu Malaysia.