DATUK Ahmad Amzad Hashim menganggap keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu hari ini yang membatalkan kemenangannya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi Parlimen Kuala Terengganu sebagai penyuntik semangatnya.
Menurutnya, keputusan itu menaikkan lagi semangatnya untuk terus berjuang.
“Insya-Allah keputusan Mahkamah Tinggi hari ini menaikkan semangat saya untuk terus berjuang.
“Firman Allah SWT: Wahai orang yang beriman! Apabila kamu berdepan dengan pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan ingatlah Allah (dengan doa) banyak-banyak, semoga kamu mencapai kemenangan. – Surah Al Anfaal : 45,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu Mahkamah Pilihan Raya Terengganu menerima petisyen yang difailkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Zubir Embong untuk membatalkan kemenangan Ahmad Amzad pada PRU-15 bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.
Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen di Parlimen Kuala Terengganu pada PRU-15.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan keputusan selama 14 hari bagi membolehkan responden membuat rayuan dan memfailkan permohonan rasmi pergantungan responden sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu.