• Fri. Feb 23rd, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Demi intergriti, Wan Saiful letak jawatan Ketua Penerangan BERSATU

Feb 22, 2023
Spread the love

KUALA LUMPUR: Datuk Wan Saiful Wan Jan mengumumkan hasratnya untuk melepaskan jawatan sebagai Ketua Penerangan BERSATU susulan pendakwaan dikenakan terhadapnya semalam.

Beliau berkata hasrat itu sudah dimaklumkan kepada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan terpulang kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk membuat keputusan.

Katanya, tindakan itu dibuat bagi memberi tumpuan untuk membersihkan namanya terlebih dahulu yang menjadi prinsip selama ini.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata beliau masih memegang jawatan Ahli MPT BERSATU.

“Berikutan tindakan bermotifkan politik oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) terhadap saya semalam, maka saya memohon supaya presiden dan juga MPT BERSATU membuat keputusan mengenai jawatan saya sebagai Ketua Penerangan BERSATU.

“Keputusan saya ambil ini adalah sesuai dengan prinsip integriti dan semangat perjuangan yang saya junjung selama ini. Tindakan ini juga saya nak tegaskan antara saya dengan kluster mahkamah yang bermaharajalela dalam kerajaan PH dan BN hari ini,” katanya.

Mengulas mengapa hanya meletakkan jawatan sebagai Ketua Penerangan, Wan Saiful menjelaskan ini kerana ia adalah jawatan eksekutif dalam parti.

“Jangan sesekali mana-mana pihak cuba menyamakan saya dengan individu lain dalam kluster mahkamah. Saya dengan suka hati, sukarela dan tanpa berbelah bahagi melepaskan jawatan saya yang berbentuk eksekutif ini.

“Sedangkan mereka mencari dan menggunakan jawatan eksekutif untuk kepentingan diri sendiri.

“Saya juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika ada sesiapa yang terus memburukkan nama saya,” katanya.

Wan Saiful dihadapkan ke Mahkamah Sesyen semalam atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu.

Bagaimanapun, Wan Saiful, 48, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.