Oleh Dr. Nabila Din
- Fasal 3 Perlembagaan Umno menyatakan ia adalah sebuah parti yang berjuang mendukung cita-cita Kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara. Lagu rasmi Umno pula melirikkan, ‘Kita rumpun Melayu, bersama kita bersama, mendukung hasrat semua, berjasa pada bangsa agama dan negara’.
- Soalnya benarkah perjuangan Umno seperti dalam Fasal 3 dan lirik tersebut setelah kita meneliti senario mendirikan kerajaan pasca Pilihanraya Umum (PRU) Ke-15? Persoalan ini timbul kerana Umno sanggup bekerjasama membentuk kerajaan bersama parti cauvinis DAP dalam Pakatan Harapan (PH) berbanding bekerjasama parti Melayu Islam, Pas dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).
- Sebelum PRU-15, Umno sentiasa berzikir dan meludah bahawa perjuangan DAP boleh meruntuhkan perpaduan serta merosakkan negara, begitu juga lidah DAP dihadapkan kepada Umno. Pada masa yang sama ketika itu Umno telah menjalin hubungan Muafakat Nasional (MN) dengan Pas sambil linangan air mata ahli-ahli atas nama penyatuan ummah.
- Selepas PRU-15 di Perak, Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi sembilan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN), Perikatan Nasional (PN) pula berjaya memperoleh 26 kerusi sementara Pakatan Harapan (PH) mendapat 24 kerusi daripada 59 DUN semuanya.
- Semua kerusi BN dimenangi oleh Umno, kecuali satu DUN oleh MCA di N47 Chenderiang. Komponen PN, iaitu Pas memenangi 17 kerusi, sementara Bersatu mendapat sembilan kerusi. Untuk rekod, semua 26 ADUN PN dan lapan ADUN Umno adalah Melayu Muslim.
- Daripada 24 kerusi PH, DAP memegang kerusi terbanyak, iaitu 18 kerusi, sementara PKR mendapat lima kerusi dan Amanah hanyalah memenangi satu kerusi tunggal di N44 Sungai Rapat. Selain DAP yang 15 ADUNnya adalah berbangsa Cina dan dua India, tiga ADUN PKR juga adalah bukan Islam.
- Pelik bin ajaib, pemimpin Umno Perak yang memperjuangkan agama dan bangsa tidak mahu bekerjasama dengan PN yang dianggotai oleh 26 semua ADUN Melayu Muslim, sebaliknya mengenyit mata memilih PH yang 20 ADUNnya bukanlah berbangsa Melayu dan beragama Islam (kecuali baki empat orang) untuk mendirikan kerajaan di Perak.
- Lantas timbul persoalan, adakah benar perjuangan Umno demi bangsa dan agama, ataupun untuk tujuan pangkat dan jawatan, mahupun hanyalah wayang untuk mengaburi mata hati orang Melayu, ahli ahli-ahli Umno, termasuklah si penitis air mata ketika perasmian MN di Dewan Merdeka!
- Bukankah tindakan pasca PRU-15 ini menunjukkan Umno, khasnya pemimpin mereka di Perak adalah ‘penjilat’ sumpah keramat semata-mata kuasa meskipun ia menjayakan perjuangan Malaysian Malaysia DAP.
- Tahniah pimpinan Umno Perak! penyokong DAP bertepuk tangan merayakan ‘sikap sebenar’ anda. Lalu anda akan dikepung di meja mesyuarat Exco.
- Didoakan pimpinan dan ahli Umno bawahan yang lain sedar tentang hal ini dan melakukan sesuatu untuk menyelamatkan Umno.