• Mon. Dec 9th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Demokrasi dalam UMNO sudah mati kata Penganalisa

Jan 14, 2023
Spread the love

PUTRAJAYA: Keputusan UMNO untuk tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti itu memberi makna demokrasi parti itu sudah mati dan memberi kesan langsung kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, dalam keputusan berkenaan, ia perlu ada keinginan atau political will untuk membuka ruang demokrasi dalam parti, jika tidak UMNO akan dilihat menutup ruang berkenaan semata-mata untuk menjaga kepentingan pemimpin berbanding kepentingan parti.

Justeru katanya, Anwar harus campur tangan dalam menasihati Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi iaitu bukan sebagai mencampuri urusan parti, sebaliknya atas kapasiti untuk menjaga imej Anwar sebagai pendukung demokrasi tegar menerusi agenda reformasi.

“Bagi saya sedikit sebanyak boleh mencalarkan imej Anwar kerana UMNO adalah sebahagian daripada kerajaan sekarang, maka apa saja berkaitan dengan komponen gabungan juga akan memberi kesan kepada kepimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Ini kerana tindakan UMNO ini akan memberi kesan langsung terhadap imej Anwar. Apa saja melibatkan prinsip parti gabungan dalam kerajaan akan memberi impak kepada Perdana Menteri dan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN), maka semua parti politik kerajaan perlu cermat menguruskan parti masing-masing.

“Parti-parti komponen Kerajaan Persekutuan akan berhadapan PRN di beberapa buah negeri. Jika isu melibatkan UMNO ini tidak ditangani dengan baik, ini akan memberi kesan negatif terhadap keputusan PRN akan datang kepada Pakatan Harapan dan BN itu sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohammad Tawfik menambah, keputusan UMNO tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti itu bermaksud demokrasi UMNO sudah mati.

Katanya, sebelum ini semua pihak boleh terima pemilihan UMNO ditangguhkan untuk berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Alasan demi alasan digunakan untuk menghindari pemilihan parti selepas PRU tidak masuk akal,” katanya.

Beliau mengulas mengenai keputusan undian Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang meluluskan usul dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti akan datang.

Beberapa pimpinan antaranya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Khairy Jamaluddin dan beberapa nama besar lain sedang menyatakan minat untuk bertanding sekiranya dua jawatan tersebut dibenarkan untuk dipertandingkan.

Semalam, Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur menyaksikan buat pertama kalinya perwakilan menjerit boo ketika usul dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan dibacakan oleh perwakilan UMNO Negeri Sembilan. – UTUSAN