“Demokrasi sudah mati. Ini tidak adil,” demikian reaksi Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkait penyingkiran empat ADUN Bersatu dari Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Terdahulu, DUN Pulau Pinang meluluskan usul untuk mengosongkan kerusi Khaliq Mehtab Ishaq (Bertam), Zolkifly Lazim (Teluk Bahang), Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh) kerana melompat parti.
Kesemuanya memenangi kerusi itu dalam PRU-14 atas tiket Pakatan Harapan (PH).
Tegas Dominic, Khaliq dan Zolkifly sememangnya ahli Bersatu yang ketika itu merupakan komponen PH sementara Afif dan Zulkifli dipecat oleh PKR.
“Bagaimana mereka boleh dituduh melompat parti?”
“Atas sebab itu tanggapan bahawa mereka bersalah kerana melompat parti adalah bercanggah dengan undang-undang anti-lompat parti Persekutuan.
“Jelas ia berat sebelah,” kata Presiden Gerakan yang menyifatkan penyingkiran empat ADUN itu sebagai satu usaha mencemarkan imej PN dan menutup mulut pembangkang.
Empat ADUN itu dianggap hilang kerusi selepas Bersatu meninggalkan PH berikutan Langkah Sheraton pada Februari 2020 berdasarkan peruntukan akta anti-lompat yang terkandung dalam Perkara 14A Perlembagaan negeri.
Perkara 14A menyatakan seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika dipilih sebagai calon parti politik, meletak jawatan atau dipecat daripada sesuatu parti atau telah dipilih selain daripada sebagai calon parti politik, dia menyertai parti politik. AD