SHAH ALAM, 28 MAC 2023 – Dewan Rakyat hari ini, menolak usul dikemukakan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berhubung kegagalan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi.
“Saya nak minta petua daripada Yang Dipertua apakah saluran lain yang boleh saya bawa ke Dewan Rakyat ini untuk Kementerian Luar menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku di Arab Saudi,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum ini, Perikatan Nasional (PN) menyifatkan lawatan Anwar ke Arab Saudi baru-baru ini sebagai gagal kerana ia tidak membabitkan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz atau Putera Mahkota Mohammed Salman sedangkan dalam kenyataan media daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan jemputan itu adalah undangan daripada Kerajaan Arab Saudi.
Ketika sesi soal jawab membabitkan menteri, Wan Ahmad Fayhsal dilihat bangun dan mendedahkan sudah menerima surat daripada pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat dan tindakan sama dilakukannya sekali lagi ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri.
Anwar sebelum ini dilaporkan berasa dukacita kerana tidak berkesempatan bertemu Raja Salman dan Mohammed Salman sepanjang tiga hari mengadakan lawatan rasmi ke negara itu.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, perkara itu tidak dapat diadakan kerana perubahan jadual pemimpin Arab Saudi itu berikutan bulan Ramadan dan juga jadual padat Perdana Menteri.
Katanya, permintaan pemimpin Arab Saudi untuk melanjutkan lawatannya itu tidak dapat dipenuhi kerana perlu menghadiri majlis iftar bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, diikuti dengan lawatan rasminya ke Kemboja.
Sementara itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ramli Md Nor turut memberikan ‘petua’ seperti diminta Ahli Parlimen Machang itu bahawa mengikut peraturan ditetapkan, sekiranya Wan Ahmad Fayhsal masih tidak berpuas hati dengan keputusan dibuat, beliau boleh mengemukakan usul itu sekali lagi dalam dewan berkenaan.
“Bagaimanapun, sila ambil maklum Yang Berhormat Machang, lihat peraturan 42, 43 dan 99(a) dan akhirnya kata putus adalah Yang Dipertua Dewan akan menentukan,” katanya.
Ramli turut menasihatkan ahli dewan supaya mengingati peraturan ditetapkan tanpa perlu bertanyakan perkara itu kepada dirinya.
“Perkara ini sepatutnya jadi makan minum kita dalam dewan ini, tak perlu banyak, sekurang-kurangnya kena mahir peraturan 35, 36, 37, 41, 42, 43, 44, 98 dan 99(a) terutama kepada mereka yang baharu ini.
“Tapi kadang-kadang sifat manusia, benda sudah tahu dia buat tak tahu. Ini saya faham dalam politik namun mestilah ada hadnya kerana boleh dikatakan di luar sana (Dewan Rakyat) ini dikenali sebagai zoo dan itu sangat menyedihkan,” katanya.