• Fri. Dec 6th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

DHPP: Mata rantai perjuangan PAS

Aug 15, 2020 , ,
Spread the love

10 TAHUN yang lalu atau lebih tepatnya pada 23 Mei 2010 bersamaan 9 Jumadil Akhir 1431H adalah tarikh surat beranak Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP). Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS telah melancarkan penubuhannya dengan penggunaan frasa ‘Penyokong PAS’ di Dewan Serbaguna, Pejabat Daerah dan Tanah Klang. Kini DHPP bukan lagi sekadar penyokong, tetapi adalah pendukung PAS.

Sejarah mencatatkan cadangan penyertaan orang bukan Islam sebagai ahli harakah Islam PAS bukan suatu yang baharu. Perbincangannya sudah wujud sebelum merdeka semasa Tuan Guru Hj. Ahmad Fuad Hassan menjadi Yang Dipertua Agung. Malah, Profesor Zulkifli Muhammad, Timbalan Yang Dipertua Agung melalui kertas bertajuk ‘Kedudukan dan Penyusunan Semula (PAS)’ pada 3 Disember 1961 pernah mencadangkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Agung PAS agar mereka diterima sebagai ahli bersekutu.

Selain itu, sejarah politik PAS yang panjang menyaksikan ikatan politik secara rasmi atau tidak dibuat dengan parti-parti politik serta pertubuhan kaum. Malah, pada tahun 1985 PAS sendiri pernah menubuhkan Chinese Consultative Council (CCC), suatu entiti kecil sebagai strategi dakwah dan koordinasi politik sebelum Pilihanraya Umum (PRU) Ke-7, 1986.

Pasca kemelut politik 1998 pula merakamkan orang bukan Islam mula menyertai program-program PAS. Namun, langkah parti DAP yang meninggalkan Barisan Alternatif pada 2001 telah menyebabkan PAS bergerak menjalin koordinasi secara langsung dengan orang bukan Islam, khasnya masyarakat Cina. Atas kehendak ramai, PAS kemudian menubuhkan Kelab Penyokong PAS (KPP) yang dilancarkan pada 11 Mac 2004 di Taman Melewar. Dengan slogan ‘PAS For All’, KPP mula berkembang ke seluruh negara yang menarik minat semua kaum termasuklah di Sabah dan Sarawak.

Arkitek diingati dalam sejarah penubuhan DHPP adalah arkib dan perlembagaan bergerak PAS, Almarhum Ustaz Hassan Shukri. Pada akhir 2008, beliau diamanahkan mengetuai Jawatankuasa Teknikal untuk meneliti perlembagaan PAS dan menyediakan cadangan keahlian bukan Islam dalam PAS. Cadangan tentang aturan dan peraturan DHPP ini kemudiannya diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 10 Januari 2010 yang mengangkat taraf DHPP daripada sebuah kelab kepada sebuah dewan.

DHPP kemudiannya diterima sebagai perwakilan mulai Muktamar Tahunan PAS Ke-56 pada 11 hingga 13 Jun 2010 yang diadakan di Pusat Tarbiyah PAS Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, Kelantan. Inilah antara sumbangan besar terakhir Almarhum Ustaz Hassan sebelum dijemput Ilahi dua hari kemudian, iaitu pada 15 Jun 2010.

DHPP kemudian bukan sahaja disertai orang biasa – rakyat marhaen – tetapi turut menggamit penyertaan pimpinan masyarakat, profesional dan ahli akademik. Lihat sahaja senarai nama-nama pimpinannya. Seperti pimpinan PAS Pusat, DHPP juga dibarisi oleh aktivis rakyat yang berganding bahu dengan teknokrat, ahli perniagaan, peguam serta pemegang Ijazah termasuklah Doktor Falsafah (PhD).

Jika ahli PAS mempunyai madrasah tarbiyah, ahli DHPP juga tidak kekok untuk ditarbiyah. Sudah menjadi perkara biasa usrah PAS di cawangan dan kawasan turut disertai oleh ahli DHPP. Mungkin mereka janggal untuk memberi tazkirah, tetapi mereka tidak segan untuk mendengarnya.

Malah, pembelajaran ilmu-ilmu Islam turut tidak dikesampingkan bagi ahli DHPP. Menjadi ahli PAS – walaupun bersekutu – bermaksud anda perlu menjadi ahli ilmu, belajar ilmu Islam, memahami serta mengamalkannya. PAS mahu ahlinya menjadi imam dan guru bagi orang awam, atau paling kurang diamalkan untuk diri sendiri. PAS tidak mahu ahlinya menjadi jahil dalam ilmu Islam, termasuklah ahli DHPP.

Sebab itulah PAS melalui Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan yang dipengerusikan oleh Naib Presiden YB Senator Ustaz Idris Ahmad, sejak penubuhan DHPP berusaha memberi asas kefahaman Islam secara formal kepada ahlinya. Hasrat ini bukan sahaja kehendak pimpinan pusat, tetapi juga tuntutan perwakilan yang dilaungkan dalam muktamar.

Amanah ini diletakkan di bahu Institut Latihan Kepemimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiyah (ILHAM) yang akhirnya berjaya mengadakan kelas pengajian formal melalui penawaran Sijil Asas Kefahaman Islam kepada ahli DHPP. Agak menarik, kelas pertamanya pada 7 Januari 2017 di Pejabat ILHAM, Taman Melewar menerima 12 pelajar sulung yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Kuasa DHPP Pusat.

Mereka mengikuti kelas ini pada hujung minggu selama dua semester dengan 48 jam kredit. Sebanyak empat modul disediakan meliputi Islam dalam kehidupan bermasyarakat, politik pentadbiran, perundangan dan persefahaman antara agama. Kini semula pelajar tersebut telah bergraduasi dan akan ke pentas konvokesyen tidak lama lagi.

Tahniah diucapkan kepada pimpinan DHPP. Selepas ini pembaca jangan terkejut jika ahli DHPP pula yang menjadi ‘ustaz’ kepada anda. Mereka menjadi ahli PAS, lalu mereka membentuk diri menjadi ‘pejuang PAS’. Mereka bersungguh-sungguh mahu menjadi mata rantai sejarah perjuangan ini.

Diceritakan – Ketua Wanitanya, Kumutha Raman menaiki bas setiap hujung minggu daripada Johor Bharu ke Kuala Lumpur untuk mengikuti kelas tersebut, kemudian menumpang kenderaan kawan bergerak ke Taman Melewar. Beliau yang juga seorang peguam tiba awal setiap kelas tanpa ponteng.

Melihat kecekalannya dan sebagai pemegang sijil kefahaman Islam, beliau memang layak menjadi calon PAS di DUN Johor pada tiga PRU – 2008 (atas tiket parti PKR), 2013 dan 2018. Malah, kelayakannya itu telah diiktiraf PAS yang melantiknya sebagai Pegawai Khas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat baru-baru ini.

Bukan beliau sahaja. PAS turut mengangkat ketuanya, YB N. Balasubramaniam sebagai senator pertama DHPP di Dewan Negara. Begitu juga ramai pimpinan DHPP di negeri-negeri yang dilantik sebagai Pegawai Khas Menteri Besar, ahli majlis bandaran dan ketua kampung. Mereka telah bersama PAS, mereka juga bertanggungjawab membawa suara PAS.

Sebagai nota akhir, saya suka cadangkan agar ahli DHPP disyaratkan secara mandatori perlu memiliki Sijil Asas Kefahaman Islam ILHAM sebelum menjadi calon PRU atau lantikan politik oleh PAS. Sebabnya DHPP kini bukan melukut di tepi gantang PAS. DHPP bukan sekadar penumpang bahtera besar PAS. Tetapi, DHPP kini telah melakar sejarah sebagai mata rantai perjuangan ini. Mereka kini bersama di saf hadapan membawa obor menuju kemenangan Islam.

Dr Nabila Din
Harakah, 17 – 20 Ogos 2020