Individu yang berdepan fitnah disebabkan data peribadi mereka didaftarkan di bawah Skim Perlindungan Insurans Am (INSAN) tanpa pengetahuan dan persetujuan, boleh mengambil tindakan saman kerana ia dianggap sebagai satu bentuk kerugian.
Peguambela dan Peguamcara, Asiah Abd Jalil berkata, dari segi undang-undang, kerugian tidak merujuk kepada kerugian duit dan harta semata-mata.
Sebaliknya, jelas beliau, kerugian juga boleh melibatkan reputasi, maruah, nama baik, kedudukan dan pandangan umum terhadap seseorang individu terlibat.
“Nak fail saman sivil di mahkamah, kena ada kausa tindakan. Kausa tindakan hanya wujud bila ada kerugian. Tiada kerugian, tiadalah kausa tindakan.
“Dalam isu INSAN ini, saya boleh beri contoh dua individu yang mengalami kerugian yang teruk, akibat didaftarkan di bawah skim INSAN tanpa pengetahuan dan persetujuan mereka.
“Mereka difitnah dengan macam-macam tuduhan dan gelaran buruk, kerana kononnya mereka adalah individu yang diinsuranskan dalam INSAN oleh Kerajaan Negeri Selangor,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Dalam hantaran tersebut, beliau memuat naik tangkap layar berkaitan isu dibangkitkan penyokong Pakatan Harapan (PH) mempertikaikan status pempengaruh sosial media ‘YB Viral’ dan ‘DD Chronicle’ yang berdaftar sebagai penerima manfaat skim INSAN bawah PH.
Ia sekali gus, merujuk bahawa dua individu tersebut sebagai mangsa fitnah kerana pendaftaran bawah skim insurans tersebut adalah di luar pengetahuan mereka.