• Mon. Sep 9th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Didakwa sebar hadith palsu, Ustaz Dusuki saman Miqdad

Nov 20, 2023
Spread the love

KUALA TERENGGANU – 20 NOV: Kes saman Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani ke atas Miqdad Zakaria diteruskan pada semalam dan hari ini di Mahkamah Seksyen Kuala Terengganu sejak dimulakan perbicaraan penuh pada 4 September 2023.

Kes tersebut berhubung dengan satu kiriman di Facebook oleh Miqdad yang didakwa oleh Ustaz Ahmad Dusuki telah memfitnah beliau sebagai seorang yang semasa hidupnya suka menyebar hadis palsu.

Ustaz Ahmad Dusuki sebagai plaintif turut mendakwa Miqdad melalui statusnya, telah membiarkan komen-komen yang mencemuh dan menghina beliau tanpa mengambil mengambil sebarang langkah untuk memberi penjelasan atau memadamnya.

Miqdad dalam pembelaan menafikan status hantaran kiriman tersebut secara khusus ditujukan kepada Ustaz, sebaliknya ia adalah inisiatif beliau untuk memberi teguran berpatutan kepada pendakwah agar tidak menyebarkan hadith palsu.

Beliau turut menyatakan status tersebut dimuat naik bagi menegur Plaintif yang dilihat merujuk beberapa hadith palsu dalam ceramah di platform masjid dan surau.

Miqdad merujuk dua bukti bahawa plaintif adalah seorang penyebar hadith palsu, iaitu melalui kisah Alqamah dan mimpi Bilal bin Rabah RA bertemu Rasulullah SAW.

Dalam prosiding dua hari tersebut, Ustaz Ahmad Dusuki menjelaskan secara panjang lebar status hadith dan kredibiliti perawi yang dipertikaikan dalam kisah Alqamah bernama Abu Warqa’ Faid bin Abdul Rahman sebagai pemalsu hadith serta status kisah mimpi Bilal RA.

Beliau membawa hujah-hujah daripada pelbagai kitab ulamak dalam Bahasa Arab serta pandangan tokoh-tokoh pengkritik hadith silam dan semasa yang jelas menyatakan kedua-dua kisah tersebut bukanlah palsu.

Kes saman fitnah terhadap Miqdad tersebut melibatkan tuntutan plaintif berbentuk gantirugi am, faedah, kos atau apa-apa relif selainnya serta permohonan maaf di akhbar tempatan dan facebook.

Menurut peguam yang mewakili Ustaz Ahmad Dusuki, Mohd Jamil Yaacob plaintif turut membuat satu lagi saman fitnah terhadap Miqdad berkaitan beberapa kiriman Facebook yang mendakwa Ustaz sebagai ‘al-Kazzab’ atau pembohong. Kes tersebut turut bermula perbicaraan penuh hari ini pada sebelah petang di hadapan YA Hakim di mahkamah yang sama.

Selain itu, satu kiriman di Facebook oleh seorang yang bernama Wan Fauzuldin Wan Samad turut disaman oleh Ustaz Ahmad Dusuki. Kiriman ini berkaitan dengan tuduhan bahawa Ustaz telah melanggar undang-undang dengan memberi ceramah dan berkhutbah di negeri Pahang serta melanggar SOP PKP Jabatan Agama Islam Pahang. Kes tersebut masih dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuantan.

Turut mewakili Ustaz dalam semua saman tersebut ialah peguam Mohd Kamarulzaman Jusoh daripada Tetuan Srihana Mohamad & Partners. Semua kes akan bersambung pada awal tahun hadapan. [Media GU]