• Fri. Feb 23rd, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Dituduh laskar RBA, Blogger Omakkau saman pemimpin DAP

Nov 27, 2023
Spread the love

SHAH ALAM, 27 NOV – Penulis blog terkenal yang menggunakan nama samaran Omakkau menyaman seorang ahli politik Ahmad Tarmizi Mohd Jam berhubung suatu hantaran di aplikasi sosial Facebook.

Omakkau yang juga pemilik akaun Facebook dengan nama Hanisya Abdul Hamid membuat saman tersebut berkaitan kata-kata Defendan yang boleh difahami memberi maksud beliau adalah laskar siber ‘Red Bean Army’ (RBA).

Dalam tuntutan yang difailkan Omakkau, kata-kata terbitan Defendan juga dikaitkan dengan Plaintif mendapat upah daripada DAP sebagai ‘cybertrooper’ serta pada masa yang sama turut mendapat upah daripada Datin Seri Rosmah Mansor, isteri bekas Perdana Menteri sebagai punca pendapatan beliau.

Terbitan tersebut disifatkan fitnah berniat jahat yang ditujukan kepada Plaintif, selain komen secara terbuka atas kata-kata tersebut menyebabkan beliau dicemuh dan dipersendakan hingga merosakkan perwatakan beliau sebagai seorang aktivis sosial politik.

Ahmad Tarmizi yang kini adalah Pengerusi DAP Parlimen Parit dalam penyataan pembelaannya menyatakan kiriman tersebut bukanlah merujuk secara khusus kepada Plaintif kerana nama yang terpapar di akaun Facebook bukanlah nama sebenar Plaintif.

Beliau juga menafikan berniat jahat, sebaliknya kenyataan berkaitan upah adalah berbentuk pertanyaan kepada khalayak awam, sementara RBA juga dimaknakan sebagai singkatan bagi ‘Rosmah Bean Army’.

Untuk rekod, Ahmad Tarmizi adalah ahli politik yang pernah menjadi calon PH-DAP di Parlimen Gerik pada PRU-15 lepas. Sebelum menyertai DAP pada September 2022, beliau adalah Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara Wilayah Persekutuan dan calon parti itu pada PRU-14 di Parlimen Parit, namun kedua-duanya tewas.

Beliau juga adalah bekas pengarang akhbar Harakah serta pernah menyandang jawatan Naib YDP PAS Kawasan Batu sebelum meninggalkan parti tersebut selepas Muktamar Tahunannya kali ke-61 tahun 2015.

Omakkau, yang blognya pernah diangkat sebagai blog politik nombor satu di Malaysia, dalam saman tersebut menuntut Defendan membayar gantirugi am, teladan, kos dan apa-apa relif yang wajar serta permohonan maaf di akhbar tempatan dan Facebook.

Writ saman bagi kes ini dikeluarkan sejak Oktober 2020 dan perbicaraan penuh dijadualkan berlangsung pada 1 dan 4 Disember 2023 nanti di Mahkamah Seksyen Shah Alam.

Omakkau diwakili oleh peguam Mohd Jamil Yaacob dan Mohd Kamarulzaman Jusoh daripada Tetuan Srihana Mohamad & Partners.