• Sat. Oct 8th, 2022

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Doktrin Struktur Asas (BSD) jadikan undang-undang Islam kelas kedua

Sep 20, 2022
Spread the love

  1. Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa ia adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.
  2. Dalam Perkara 4(3) diperuntukkan pula bahawa kesahan mana-mana undang-undang yang dibuat oleh Parlimen atau Badan Perundangan mana-mana Negeri tidak boleh dipersoalkan atas alasan Parlimen atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, Badan Perundangan Negeri itu tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang, kecuali dalam prosiding untuk mendapatkan suatu penetapan bahawa undang-undang itu adalah tidak sah.
  3. Perlembagaan kita adalah bermodelkan Westminster. Ringkasnya ia adalah kerajaan berparlimen yang menggabungkan beberapa siri prosedur untuk mengendalikan badan perundangan.
  4. Mahkamah tertinggi di Malaysia sebelum tahun 2007 tidak mengakui keesahan “doktrin kerangka asas perlembagaan” BSD ini. Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Agung kebanyakannya tidak memberi interpretasi jelas apabila membincangkan doktrin ini. Contohnya Hakim Richard Malanjun menyatakan bahawa kuasa Mahkamah tidak boleh dibatasi oleh undang-undang persekutuan dan doktrin pengasingan kuasa adalah asas kepada perlembagaan persekutuan (PP v Kok Wah Kuan [2007] 6 CLJ 341)
  5. Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad menyatakan bahawa doktrin ini mendapat pengiktirafan Mahkamah Agung India. Di dalamnya, hakim-hakim memberi kuasa kepada diri mereka sendiri untuk meminda Perlembagaan dengan memutuskan bahawa Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk meminda mana-mana bahagian Perlembagaan.
  6. Hakim-hakim memutuskan yang manakah pindaan oleh Parlimen yang mereka katakan itu adalah sebahagian daripada struktur asas Perlembagaan dan oleh itu tidak boleh dipinda, tidak sah. Kesannya ialah hakim-hakim sendiri telah meminda Perlembagaan untuk memberi kuasa kepada mereka untuk memutuskan bahawa bahagian-bahagian tertentu Perlembagaan tidak boleh dipinda.
  7. Di dalam kes Semenyih Jaya Sdn Bhd v Land Administrator of the District of Hulu Langat [2017] 3 MLJ 561 (FC) Akta Pengambilan Tanah 1960 telah dipinda dengan memasukkan Seksyen 40D. Mahkamah Persekutuan melalui Hakim Zainun Ali menukilkan bahawa pindaan tersebut adalah tidak berperlembagaan.
  8. Di dalam kes Indira Gandhi v The Director of Islamic Affairs Perak [2018] 1 MLJ 545 (FC) Zainun Ali sekali lagi menegaskan bahawa:

(i) asas perlembagaan adalah membentuk struktur kepada perlembagaan.

(ii) Prinsip pengasingan kuasa adalah sebahagian daripada struktur asas Perlembagaan.

(iii) Kuasa kehakiman Persekutuan adalah sebahagian daripada struktur asas Perlembagaan. Oleh itu pindaan perlembagaan yang meminda Akta 121 pada tahun 1988 yang menyekat dan kononnya menghapuskan kuasa kehakiman yang diberikan kepada badan kehakiman disahkan batal.

(iv) Kuasa semakan kehakiman membentuk sebahagian daripada struktur asas Perlembagaan.

  1. Oleh itu, mana-mana percubaan oleh Parlimen untuk menafikan atau mengecualikan kuasa semakan kehakiman adalah tidak sah dan tidak berkesan. Klausa penyingkiran / ouster clauses (satu undang-undang yang dibuat agar tidak ada semakan kehakiman terhadap sesuatu perkara) adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah. Ciri-ciri struktur asas tidak boleh dimansuhkan atau dihapuskan oleh pindaan perlembagaan.
  2. Begitu juga memandangkan kuasa semakan kehakiman adalah sebahagian daripada struktur asas Perlembagaan, Perkara 121(1A) tidak boleh, dan tidak menghalang mahkamah biasa daripada mengkaji semula perbuatan institusi Islam ditubuhkan di bawah statut untuk memastikan sama ada mereka telah bertindak ultra vires kuasa berkanun mereka, termasuk perlakuan yang salah terhadap subjek sebagai termasuk dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.
  3. Adalah dipercayai bahawa struktur asas perlembagaan ini perlu diperhalusi oleh setiap institusi berkenaan. Ini adalah kerana pada peringkat ini, kesemua semakan kehakiman yang dibuat ke atas enakmen agama Islam telah dibenarkan oleh Mahkamah berkenaan yang menjadikan bahawa undang-undang Islam sebagai kelas kedua.

Oleh: Lawyer Mang