• Thu. Sep 21st, 2023

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Dr Abdul Monir cadang polis wanita pakai tudung

Jul 20, 2023
Spread the love

KUALA LUMPUR: Datuk Dr Abdul Monir Yaacob pernah mencadangkan pegawai polis wanita digalakkan memakai tudung sebagai sebahagian daripada pakaian seragam.

Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan tahun ini ketika itu dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keutuhan Jabatan Perdana Menteri, menemui Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Omar bagi mengajukan cadangan berkenaan.

Dr Abdul Monir yang juga bekas Ketua Pengarah Institusi Kefahaman Islam (IKIM) juga mengesyorkan banduan lelaki Islam dibenarkan memakai pakaian menutup aurat untuk memudahkan mereka solat.

Beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Syed Sirajudin Syed Putra Jamalullail berhubung masalah banduan lelaki menunaikan solat kerana mereka hanya dibenarkan memakai kemeja T putih dan seluar pendek.

Dr Abdul Monir ketika itu menyembah maklum isu dihadapi banduan lelaki bagi pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Anak jati dari Mengkarak Bera itu dipilih Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan berdasarkan sumbangan besar dalam pembangunan ummah dan perkembangan syiar Islam.

Pengumuman dibuat oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/2023M, di sini, semalam.