• Sun. Jun 4th, 2023

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Dr Halimah Ali bertembung enam calon lain di Kapar

Nov 5, 2022 ,
Spread the love

KAPAR – Perikatan Nasional (PN) yang diwakili calon Pas bertembung enam calon lain di P.109 Kapar dalam Pilihanraya Umum (PRU) Ke-15 nanti.

Dr Halimah Ali yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat akan berhadapan dengan calon Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Gerakan Tanah Air (GTA), Parti Bangsa Malaysia (PBM), Parti Warisan, Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) serta seorang calon bebas.

Semua pencalonan yang diterima diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Kapar, Shahman Jalaludin selepas penamaan calon parlimen tersebut di Pejabat Daerah Tanah Klang.

Calon lain ialah Muhammad Noor Azman (BN), Dato’ Abdullah Sani Abdul Hamid (PH), Dr Daroyah Alwi (PBM), Rahim Awang (Warisan), Muhammad Pathan Hussin (Pejuang) dan Dato’ Sri Sivalingam Ponniah (Bebas).

Dr Halimah yang ditemui di lokasi tersebut menyatakan keyakinan kerusi parlimen tersebut akan dimenangi oleh PN berdasarkan ‘mood’ rakyat yang merasai kesejahteraan semasa pemerintahan PN di peringkat nasional.

Penamaan calon bagi PN bermula di Padang Awam PBSM Klang dengan solat dhuha dan hajat yang diimamkan oleh Ustaz Mohd Farid Zainal, pimpinan Dewan Ulamak Pas Kapar. Perarakan kemudiannya diiringi kira-kira 500 penyokong sambil bersalawat dan berzikir.

Turut mengiringi calon PN tersebut ialah Datuk Iskandar Abdul Samad Bendahari Pas Pusat, Ustaz Noor Najhan Mohamad Salleh Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor selaku Yang Dipertua Pas Kapar, Hj Jamuliddin Elias Timbalan Pengarah Pilihanraya Pas Selangor serta pimpinan Pas, Bersatu dan Gerakan peringkat parlimen.

Untuk rekod, Dr Halimah pernah memenangi Dun Selat Klang dalam PRU Ke- 13 dan 14, berpengalaman menjadi exco kerajaan Negeri Selangor serta penggerak bantuan kemanusiaan di seluruh dunia.

PRU-15 yang melibatkan semua Parlimen dan Dun di Perlis, Perak dan Pahang akan diadakan pada 19 November ini, sementara pengundian awal pada 15 November. (Media Fastaqim)