GOMBAK: Ibu bapa dua beradik yang rentung dalam kebakaran di Jalan Dewan Simpang Tiga Kampung Tanggut, di sini, pagi ini dikatakan keluar makan ketika kejadian itu berlaku.
Nenek mangsa yang ingin dikenali sebagai Normala, 48, berkata, ketika kejadian, pasangan terbabit tidak membawa kedua-dua mangsa kerana mereka sedang tidur.
Katanya, dia menerima panggilan telefon kira-kira pukul 4 pagi berhubung kejadian terbabit.
“Ketika kejadian, anak saya dan suaminya keluar makan kira-kira pukul 3 pagi.
“Saya tidak sangka kegembiraan minggu lepas ketika menyambut hari jadi datuk mereka adalah kenangan terakhir bersama,” katanya ketika ditemui di Hospital Selayang di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi itu, Nur Syaza Alfisya Muhammad Faizan, 10, dan adik lelakinya berusia tujuh tahun, Muhammad Al Qayyum Muhammad Faizan ditemukan rentung.
Sementara itu, datuk mangsa, Lokman Marni, 53, berkata, dia telah berulang kali menitipkan pesanan supaya anak dan menantu tidak mengunci pintu jeriji apabila mereka keluar ke mana-mana.
“Saya katakan kepada jangan kunci pintu jika keluar kerana bimbang insiden tidak dijangka seperti kebakaran atau apa saja.
“Saya sangat sedih apabila hilang dua cucu sekali gus, ketika mereka sedang menunggu kehadiran bakal anak dalam masa sebulan lagi,” katanya yang memberitahu anaknya menyewa di rumah itu sejak dua tahun lalu.- UTUSAN