Menteri Ekonomi kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN), Rafizi Ramli berkata kerajaan akan membuka tanah bagi mengusahakan tanaman seperti sayur-sayuran sebagai antara langkah kerajaan mengatasi inflasi bahan makanan yang tinggi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-BN Kota Melaka) di Dewan Rakyat, hari ini (20 Februari 2023).
Rafizi sebelum ini menjadi bahan kecaman netizen susulan kenyataannya yang mengatakan, pengguna patut kurangkan makan ayam sekiranya harga ayam terlampau mahal.
Timbalan Presiden PKR itu yang sebelum ini ‘hebat memberi formula itu ini’ ketika menjadi pembangkang, turut disindir mengenai susahnya kerajaan untuk menyelesaikan pelbagai isu.
Dalam jawapan di Dewan Rakyat hari ini, Rafizi berkata, inflasi bahan makanan yang tinggi, perlu ditangani di seluruh peringkat rantaian iaitu daripada permintaan dan bekalan dengan kenaikan harga barang sebenarnya didorong oleh harga akhir di kedai dan restoran.
“Kita perlu memastikan kesedaran pengguna dan pilihan mereka berada pada tahap semakin baik supaya pilihan mereka dalam membeli mempunyai keseimbangan antara permintaan dan bekalan.
“Jika ini boleh berlaku, kita mengharapkan kenaikan harga barang pada bulan akan datang khususnya membabitkan makanan yang dibawa balik ke rumah semakin sederhana dan membolehkan kita kawal inflasi,” katanya menurut BH.
Bagaimanapun, kenyataan Rafizi itu dipertikaikan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN-Arau), Datuk Seri Shahidan Kassim yang menyatakan jawapan menteri itu mengelirukan kerana tiada perincian di mana tanah akan dibuka.
“Kenyataan kita akan buka tanah itu nak buka tanah dekat mana… jawapan ini mengelirukan… kita akan buka tanah, tanah di mana,” tanya Shahidan.