Ketika UMNO mengadakan Perhimpunan Agung (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di ibu negara sejak semalam (11 Januari 2023), PAS mempersoalkan apakah jenis perjuangan Melayu yang dibawa parti yang kononnya ‘keramat’ bangsa itu sejak muktahir ini.
Ini kerana, parti Kebangsaan itu yang wujud sebelum merdeka lagi dan diketahui umum memperjuangkan agama bangsa dan negara, kini sudah berubah apabila UMNO menolak perpaduan dalam kalangan bangsa Melayu dan Islam.
Perkara ini dipersoal oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria sebagaimana diberitahu Setiausaha Politiknya, Fairuz Hafiizh Othman, dalam satu kenyataan semalam.
“Melayu apa yang diperjuangkan UMNO jika sanggup menolak gabungan bersama parti Melayu dan memilih bersama DAP dan PKR?
“Sebelum PRU-15, UMNO berjuang menolak DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Pengerusi Pakatan Harapan dan Presiden PKR yang kini Perdana Menteri).
“Dalam PAU dinobatkan slogan ‘No DAP No Anwar‘. Dalam persidangan kali ini boleh pula berubah serta-merta. UMNO sudah tiada perjuangan.
“UMNO yang dulunya mengingatkan bahaya anak kecil bermain api, tetapi sekarang pemimpin mereka mengajak terjun ke dalam api,” kata Razman.
Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunong Semanggol, yakin perjuangan UMNO kini hanya untuk menyelamatkan kluster mahkamah yang sedang nazak.
Menurut Fairuz Hafiizh, Razman mengingatkan bahawa sekiranya UMNO ingin terus relevan dengan bangsa Melayu, pemimpin mereka mesti ditukar segera.
“Umno masih ada pejuang Melayu dan Umno boleh bangkit bersama parti Melayu.
“(Tapi sebaliknya) apakah UMNO akan menjayakan agenda DAP?” soal Razman ketika mengulas pujian Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan terhadap DAP ketika perasmian serentak sayap UMNO malam tadi.
“Umum mengetahui agenda perjuangan DAP dan mereka melaksanakan semaksimum mungkin dalam tempoh 22 bulan berkuasa sebelum ini.
“Namun agenda itu tersekat apabila perubahan kerajaan yang berlaku kerana parti Bersatu dan beberapa pimpinan PKR tidak lagi sanggup bersekongkol menjayakan agenda DAP yang jelas merugikan Melayu dan membahayakan integrasi kaum di Malaysia.
“Di Perak, Datuk Seri Mohd Faizal Azumu yang menjadi Menteri Besar berterusan ditekan terutamanya menuntut hak milik tanah 999 tahun.
“Jika bersama Bersatu yang telah ada hubungan sebelum PRU pun mereka tak peduli, apakah UMNO yang dilihat cuba berpaut dengan mereka akan diikuti?,” soalnya lagi.
Razman juga mengingatkan DAP sedar bahawa UMNO diheret oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa pimpinan kluster mahkamah untuk menyelamatkan diri sendiri dan bukan perjuangan parti.
“Apatah lagi DAP sedar Zahid tiada pilihan selain berpaut dengan PH setelah PN daripada awal menolak penyelesaian kes beliau sepertimana didedahkan Tan Sri Muhyidin Yasin,” katanya.
Mengenai saingan kerusi yang mungkin menjejaskan UMNO jika bersama PN seperti didakwa Mohamad, Razman menjelaskan:
“Keutamaan kita ialah memperkasakan kuasa Melayu Islam. Kita boleh membetulkan kesilapan lampau UMNO dalam persempadanan semula kerusi yang meninggalkan negeri Melayu dan menambah kerusi bukan Melayu sebelum ini.
“Kita ibarat adik beradik dan diikat akidah yang sama. Keutamaan kita adalah perjuangan agama dan bangsa dan bukan peribadi kita.
“Pak Teh (Razman) berpegang dengan nasihat Ibn Abbas yang merupakan antara pemimpin bumi Sepanyol ketika berbincang menjemput Sultan Yusuf dari Kerajaan Murobithun menghadapi Raja Alfonso. Katanya, “Saya lebih rela menjadi gembala unta kepada Sultan Yusuf daripada menjadi gembala babi kepada Raja Alfonso,” ujar Razman.