Pendakwah terkenal, Ebit Lew bakal melakukan misi kemanusiaan ke Mesir bagi membantu rakyat Palestin yang sedang menghadapi krisis kemanusiaan akibat serangan rejim Zionis baru-baru ini.
Hasrat pendakwah itu disampaikan kepada Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar melalui panggilan telefon video sebentar tadi.
Menurut Kamarudin, biarpun misi tersebut merupakan inisiatif delegasi pendakwah itu sendiri, pihaknya akan sentiasa memberikan bantuan.
“Urusan serta persediaan berkaitan misi tersebut telah dirancang serta dibuat oleh pihak Ustaz Ebit Lew sendiri melalui kerjasama dengan rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mereka di Mesir.
“Misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin ini yang bermula hari ini sehingga 30 Mei juga telah mendapat kelulusan perjalanan dan tertakluk prosedur operasi standard (SOP) semasa.
“Biarpun misi ini merupakan inisiatif delegasi Ustaz Ebit Lew sendiri namun saya telah menasihati mereka agar sentiasa berhubung, bekerjasama dan patuhi setiap arahan keselamatan daripada pihak Kedutaan Malaysia di Kaherah serta pihak tuan rumah,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebook miliknya hari ini.
Dalam pada itu, Kamarudin berkata, secara dasarnya, Wisma Putra menyokong penuh usaha Ustaz Ebit Lew itu.
Pada masa sama, beliau turut mengalu-alukan rakan NGO lain untuk menggerakkan pelbagai lagi usaha yang serupa.
Katanya, kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra turut akan menggerakkan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin.
Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyambut baik hasrat pendakwah terkenal itu.
“Alhamdullillah, usaha yg sangat mulia daripada Ustaz Ebit Lew demi saudara mara kita di Palestin.
“Saya secara peribadi amat berterima kasih atas usaha ini. Moga Allah lindungi ustaz dan delegasi sepanjang di Mesir insya-Allah Perwakilan Malaysia di Kaherah akan bantu apa yang boleh,” ujarnya.