KUALA LUMPUR: Ejen jualan produk kosmetik wanita Rosnazirah Mohd Naim, yang diculik sekumpulan lelaki dari kediamannya di Tumpat, Kelantan pada 13 September lalu berjaya diselamatkan.
Lokasi kedudukan mangsa berusia 36 tahun itu berjaya dikesan hasil bantuan dan kerjasama erat antara pihak berkuasa Thailand dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata melalui kerjasama erat ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Diraja Thailand serta perkongsian maklumat dan perisikan berjaya mengenalpasti lokasi keberadaan di Thailand.
“Mangsa kemudiannya berjaya ditemui dan diselamatkan sebelum dibawa pulang ke tanah air hari ini.
“Dalam kes ini juga seramai tujuh lelaki tempatan ditahan di sekitar Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.