SETINGGI-tinggi penghargaan diucapkan kepada PDRM di atas tindakan pantas memberkas 18 individu yang disyaki terlibat dengan ejen perisikan Mossad yang terlibat dalam aktiviti penculikan rakyat Palestin berhampiran Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur pada 29 September lalu.
Kecekapan pihak PDRM memberkas 18 individu yang terlibat di lokasi berasingan sepanjang lima hari beroperasi sewajarnya layak mendapat pujian. Ia sekali gus mematahkan usaha Mossad untuk mendapatkan maklumat penting daripada kumpulan pejuang HAMAS.
Walau bagaimanapun, satu tanda aras yang serius mengenai insiden ini adalah mengenai situasi negara yang menjadi sarang ejen perisikan Mossad berleluasa. Kejadian pembunuhan Dr Fadi Mohamed al-Batsh pada April 2018 sewajarnya menjadi iktibar besar kepada pihak keselamatan mengenai ancaman yang dihadapi negara ketika ini.
Pembunuh Dr Fadi yang berjaya ditangkap oleh pihak berkuasa HAMAS mengakui mereka memasuki Malaysia melalui pasport palsu Serbia dan Montenegro dan keluar melalui jalan tikus di sempadan Malaysia-Thailand. Tidak mustahil masih ramai ejen perisikan Mossad yang menjalankan aktiviti risikan dan intipan dalam negara ini.
Sewajarnya isu sebegini dipandang serius oleh semua pihak. Segala kelemahan yang terdapat di pintu masuk sempadan negara perlu diatasi segera. Pelbagai dasar telah pun dirangka sebelum ini sehinggalah kepada pemansuhan AKSEM di Parlimen, namun isu jenayah rentas sempadan membabitkan negara masih tidak berpenyelesaian.
YB SENATOR USTAZ DATO’ HAJI AHMAD YAHYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY