• Fri. Dec 1st, 2023

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Empat Ahli Parlimen di Sabah hilang kelayakan sebagai wakil rakyat – Ahmad Fadhli

Dec 11, 2022
Spread the love

KERUSI Parlimen dimenangi empat wakil rakyat Sabah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) perlu dikosongkan selepas mereka mengumumkan keluar daripada Bersatu semalam.

Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari, berkata dari sudut undang-undang, Ahli Parlimen Bersatu di Sabah berkenaan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen walaupun kekal bernaung di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Ini kerana Bersatu ialah parti yang bergabung di bawah GRS sebagaimana PAS di bawah Perikatan Nasional (PN), Umno di bawah Barisan Nasional (BN) dan PKR di bawah Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PN mengulas mengenai kedudukan empat Ahli Parlimen Bersatu Sabah yang bertanding atas tiket GRS namun mengumumkan keluar daripada Bersatu.

Mereka adalah Datuk Azmizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang).

Ahmad Fadhli berkata, tugas pertama Speaker Dewan Rakyat apabila dilantik nanti ialah mengisytiharkan kerusi-kerusi ini kosong bagi memberikan laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan berkenaan.

“Dari sudut prinsipnya, adakah PH sudah boleh menerima ahli lompat seperti ini? Atau yang disebut sebagai khianat dan tebuk atap itu hanyalah apabila melibatkan keluar dari menyokong PH dan menyokong PN sahaja?” soalnya.