• Thu. Sep 21st, 2023

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Esok penamaan calon PRK Pulai, Simpang Jeram

Aug 25, 2023
Spread the love

JOHOR BAHRU – Bahang pilihan raya yang baharu sahaja reda di enam negeri kini beralih ke negeri ‘Harimau Selatan’ apabila pertarungan merebut kerusi Parlimen Pulai, di sini, dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, di Muar, bermula dengan hari penamaan calon esok.

Proses penamaan calon yang bermula pada 9 hingga 10 pagi itu, bakal diadakan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, bagi Parlimen Pulai, manakala untuk kerusi DUN Simpang Jeram di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar.

Menurut Pejabat Pilihan Raya Johor, setakat ini 22 set borang pencalonan telah dijual kepada beberapa parti politik termasuk parti Amanah, Pas, Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas.

PRK di dua kawasan itu dijangka akan menyaksikan persaingan sengit apabila Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan dua anak didik Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, penyandang bagi dua kerusi kawasan itu, menentang dua calon Perikatan Nasional (PN).

PH telah menamakan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Johor yang juga Setiausaha Politik Allahyarham Salahuddin, Suhaizan Kaiat yang bertanding atas tiket Amanah sebagai bakal calon Parlimen Pulai untuk mempertahankan kerusi itu, menentang bakal calon PN Zulkifli Jaafar yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pulai.Sementara itu, di DUN Simpang Jeram pula, PH mempertaruhkan Timbalan Ketua Amanah kawasan Bakri Nazri Abdul Rahman yang merupakan seorang jurutera, menentang calon PN Dr Mohd Mazri Yahya, seorang pakar perunding vaskular dan pakar bedah endovaskular.

Selain itu, Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) Samsudin Mohamad Fauzi difahamkan turut akan mencuba nasib untuk menjadi Ahli Parlimen apabila telah menyatakan hasrat untuk bertanding di kawasan itu atas tiket Bebas.

PRN ini diadakan susulan kematian penyandang kedua kerusi berkenaan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Salahuddin, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, merupakan Timbalan Presiden Amanah, penyandang kedua-dua kerusi berkenaan buat kali kedua, yang juga satu-satunya kerusi Amanah di Negeri Johor.