Penceramah bebas, Ahmad Dusuki Abd Rani mengakui belum menerima sebarang notis tuntutan daripada Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil.
Ia susulan laporan media bahawa Fahmi telah menghantar notis tuntutan kepada dua individu termasuk dirinya berhubung fitnah kononnya beliau memberi ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, 30 Julai lalu.
“Apa pun sewaktu tulisan ini ditulis, saya belum menerima surat tuntutan itu, benang basah baru nak ditegakkan.
“Saya bersedia hadapi semua ini, sahabat-sahabat boleh mula sediakan popcorn atau super ring untuk lihat ‘koner baring’,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Semalam peguam Fahmi, Asheeq Ali Sethi Alivi berkata kenyataan fitnah dikeluarkan kedua-dua individu melalui Facebook dan Instagram adalah berniat jahat.
Katanya ia bertujuan menjatuhkan nama baik Fahmi seterusnya menggambarkan seolah-olah beliau menderhaka terhadap arahan Sultan Selangor dengan mengadakan ceramah politik di masjid.
Katanya melalui notis itu, Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) menuntut antara lain penarikan balik kenyataan fitnah itu dan permohonan maaf secara terbuka daripada kedua-dua individu dalam tempoh 24 jam.
Peguam itu berkata jika kedua-dua individu gagal memenuhi tuntutan tersebut, pihaknya diarah memfailkan tuntutan saman fitnah di mahkamah terhadap mereka serta-merta.
Dalam pada itu Ahmad Dusuki berkata, sepatutnya Fahmi yang meminta maaf kepada Sultan dan rakyat Selangor dalam tempoh 24 jam kerana berucap dalam masjid.
Ini kerana katanya, Fahmi telah melanggar arahan Sultan Selangor melarang mana-mana pemimpin politik menggunakan masjid atau berucap dalam masjid atas alasan apa sahaja, lebih-lebih lagi yang tiada tauliah.
“Punyalah dia “koner baring” dituduhnya saya pula memfitnahnya, inilah dikatakan orang tua dahulu cuba ‘menegakkan benang yang basah’.
“Jelas dia mengaku dan ada bukti bergambar yang dia berucap di dalam masjid di Rawang,” katanya.
Semalam polis mengesahkan tiada sebarang unsur kempen politik dalam ucapan Fahmi di ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang, Ahad lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata ia berikutan hasil penelitian terhadap rakaman video berdurasi 12 minit mengandungi ucapan Fahmi di masjid itu.
“Tempoh 12 minit ucapan daripada menteri itu adalah berhubung penerangan berkaitan isu kumpulan muzik The 1975.
“Kita telah memanggil lapan saksi termasuk pengadu dan mereka yang hadir ketika ucapan itu dibuat,” katanya.