• Mon. Dec 4th, 2023

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Fenomena dakwah Ustaz Azhar Idrus

Mar 1, 2023
Spread the love

Ustaz Azhar Idrus bukan lagi seorang figura yang asing dalam kalangan umat Islam di Malaysia. Bahkan nama UAI turut meniti di bibir umat Islam Indonesia.

UAI lahir daripada marhen dan rakyat biasa. Beliau memahami psikologi orang awam itu bagaimana. Beliau telah berguru dengan ramai alim ulama di tanah air seperti Tuan Guru Hj Syed Mokhtar, Tuan Guru Mohd Tahir, Tuan Guru Mohd Hakim, Tuan Guru Haji Hasyim, Tuan Guru Hj Ibrahim Mesir, Tuan Guru Haji Muhammad Zubir dan Tuan Guru Haji Mohd Zain. Bahkan UAI turut diauki kefaqihan beliau oleh asatizah lain di Malaysia.

Walaupun sudah mencapai taraf ilmu yang tinggi, UAI tidak kekok mengakui asal usul beliau sebagai “budak nakal” yang aktif dengan pelbagai aktiviti anak muda seperti anak muda lain. Inilah antara kelainan oleh UAI.

Berkat usaha dakwah yang dijalankan oleh UAI sejak 1999, puluhan ribu anak muda mendapat manfaat, dicelikkan minda dan dilapangkan hati mereka untuk menerima ilmu-ilmu Allah.

Inilah antara sebab mengapa kuliah disampaikan oleh UAI tidak digemari segelintir pihak. Hanya kerana UAI mempunyai orientasi politik yang tidak sehaluan dengan mereka, UAI ada masanya menerima mehnah yang tidak sedikit dalam menyampaikan dakwah.

Hal ini termasuklah yang berlaku di Selangor baru-baru ini. Persepsi yang dilontarkan seolah-olah UAI telah bertindak semberono melanggar pihak autoriti agama tempatan untuk menyampaikan kuliah.

Lantas sewaktu kuliah beliau di Masjid Ar Rahimah, Kg Pandan Kuala Lumpur yang menjadi lokasi alternatif kuliah beliau, UAI telah bingkas membetulkan fakta yang sebenar.

Menurut UAI, beliau serba maklum dengan syarat negeri Selangor yang hanya membenarkan kuliah disampaikan oleh individu yang mendapat tauliah. Namun, kerana beliau telah dijemput oleh pihak masjid sendiri, beliau telah meminta agar surat sokongan dibuat dan dalam masa tauliah sementara dimohon. Sayang sekali permohonan ini ditolak bahkan rayuan oleh pihak masjid kepada autoriti negeri turut dinafikan.

Pernahkah kita terfikir kenapa dakwah yang disampaikan oleh UAI begitu mendapat sambutan masyarakat khususnya anak muda?

Lenggok bahasa yang ringkas serta penggunaan contoh-contoh yang amat dekat dengan anak muda menjadi antara kunci bagaimana kuliah UAI begitu dekat dengan hati anak muda. Namun kuliah bukan lah kosong dipenuhi dengan hilai tawa dan punchline sahaja, UAI sejurus selepas memberikan “punchline” akan menyisipkan sekali ilmu dan nasihat yang mendalam kepada para pendengar.

Ini membuatkan pendengar jadi lebih ingat dengan nasihat yang disampaikan serta lebih membekas di hati mereka.

Dalam era penuh dengan cabaran akhir zaman ini, kita sewajarnya memudahkan segala urusan yang boleh mendekatkan anak muda dengan Islam. Jangan disusahkan. Selagi bukan ajaran sesat dan tidak menggugat akidah dan menyebabkan perpecahan ummah. Maka permudahkanlah.

Gelombang dakwah UAI ternyata disambut dengan baik oleh anak muda yang dahagakan ilmu. Barangkali ini menjadi sesuatu yang menggugat kepada sesetengah pihak yang gagal memahami keperluan psikospiritual rakyat. Pada mereka, rakyat cukup disajikan dengan statistik pelaburan demi pelaburan walaupun hakikatnya batin rakyat memerlukan pengisian.

UTHMAN CHE AZIZ
Pengerusi SiswaPAS Selangor