• Tue. Nov 12th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Filem ‘Mentega Terbang’ promosikan murtad yang semakin menjolok mata

Mar 1, 2023
Spread the love

FILEM ” MENTEGA TERBANG ” MANIFESTASI PLURALISME AGAMA DAN MEMPROMOSI MURTAD YANG SEMAKIN MENJOLOK MATA.

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.

Jamak agama atau Pluralisme agama di atas nama keharmonian kaum, keserasian etnik, toleransi beragama dan merapatkan jurang kesenjangan antara agama dan kaum adalah racun yang membunuh akidah. Simptom ini makin membaham nilai agama dalam diri anak muda urban , menjadi satu trend yang mencolek mata dan nurani kita semua yang beriman. Bulan lepas kita dikejutkan dengan penglibatan anak-anak muda Melayu yang menyambut Taipusam dengan mengikuti ritual agama Hindu. Sebelum itu kecoh dengan isu umat Islam yang berdoa beramai-ramai dengan pelbagai fahaman agama diperkuburan bukan Islam, iftar jamaie di rumah ibadah bukan Islam, kongsi raya bahkan meletakkan semua agama menuju ke arah shurga dan semua agama menuju kearah kebenaran adalah fahaman jamak agama yang membaham kemuliaan Islam.

Pluralisme agama adalah bayi dibidani daripada pemikiran neo muktazilah, dalam sejarahnya muncul sejak kerajaan pertengahan seperti dizaman Raja Akhbar Khan di India yang mengasaskan fahaman Din ilahi. Ajaran ini menggabungkan agama Islam, hindu dan juga agama kristian atas matlamat menyekat perbalahan agama dan merapatkan intergrasi . Tak mendapat sambutan dan berhujung dengan kematian Akhbar Khan, masyarakat India secara umumnya masih kuat pegangan pada agama Islam atau Hindu dizaman Moghul memerintah sub kontinen.

Dizaman moden ini, pluralisme agama sangat bejat menyerang Indonesia semenjak zaman Bung Karno serta pintu banjir kesesatan Islam inklusif terbuka luas dizaman transisi pasca Mei 1998. Pluralisme di Indonesia ditentang sejak zaman Soekarno lagi, Prof Dr Hamka telah membayar harga yang mahal sehingga dipenjara dalam penjara Cipinang Jakarta. Perkahwinan campur bersemarak termasuk oleh artis dan selebriti, berkongsi rumah ibadah juga tak menjadi kepelikan kepada penyokong pluralisme agama ini.

Negara kita setahun yang lalu menyaksikan polemik sambutan perayaan Bon Odori, satu perayaan yang berasal daripada Jepun yang diamalkan sejak 500 tahun dahulu. Perayaan ini bukan sekadar santai budaya namun meliputi ritual memuja roh nenek moyang yang diklasifikasikan oleh pihak otoriti agama sebagai syirik terhadap Allah. Menteri Agama (JPM), Datuk Idris Ahmad telah menegaskan agar ummat Islam menjauhi perayaan ini agar tidak tergelincir akidah . Respon yang sama muncul daripada Mufti Pulau Pinang agar ummah menjauhi acara ritual ini. Di negara kita, dalam tahun 1977, perayaan ini dirayakan oleh kelompok ekspatriat Jepun, namun akhirnya kuat tarikan pesonanya digemburkan oleh umat Islam sendiri.

Betapa tololnya umat ini daripada kelas ningrat sehinggalah kutu jalanan yang mempunyai peranti pintar. Tanpa ilmu dan rasa malu kepada Allah, masing- masing memberikan pandangan bermuarakan akal nafsu agar perayaan Bon Odori mempunyai kewajaran untuk disambut. Ini termasuk langkah sumbang kerajaan Selangor yang memberikan keizinan untuk perayaan Bon Odori disambut dinegeri tersebut. Pendokong – pendokong liberal dan pluralisme agama semakin galak, bahkan ada NGO yang mendapat suntikan dana jutaan ringgit untuk terus mengelirukan ummat dengan fahaman sesat mereka terhadap Islam.

Dengan terjahan dunia langit terbuka, kelompok penyokong pluralisme agama ini dengan aktif menebarkan sikap serta pandangan mereka, bahkan secara terbuka mengadakan bantahan awam untuk berekspresi akan tuntutan-tuntutan mereka. Mereka secara terbuka menyerang institusi agama negara ini serta berkolabarasi dengan sesiapa sahaja yang menyokong perjuangan berorientasikan akal . Terkini geger gegak dengan filem versi internet melalui capaian VIU yang bertajuk ” Mentega Terbang” yang mempromosikan pluralisme agama ,bahkan mempromosikan murtad. Menurut pemerhati seni , Zabidi Mohamed, filem ini membahayakan akidah generasi muda termasuk dengan berani meremehkan agama Islam. Secara subteks menonjolkan konsep agama yang mempercayai reinkarnasi lebih baik berbanding agama Islam.

Filem yang memaparkan Aisyah, gadis 16 tahun yang mencari kebenaran agama dengan membuat kajian perbandingan agama melalui bacaan kepada teks agama yang ada. Remaja ini digambarkan menunaikan solat tetapi berfikiran liberal dalam menerima kerencaman beragama termasuk tak kisah kepada babi sebagai makanan. Dalam dialog antara Aisyah dan ayahnya juga memberikan mesej liberal kebebasan memilih agama yang dirasakan paling benar. Dalam sejarah perfileman Melayu belum pernah ada pengkarya filem secara berani mempersoalkan akidah Islam dan mempromosikan murtad. Filem ini adalah edisi internet dan tak perlu melalui tapisan FINAS dan izin tayang FINAS.

Terjahan kepada Islam berlangsung sepanjang zaman dan menuntut umat Islam berdada dengan penyelewengan ini. Antara kebobrokan yang kian mendapat tempat dalam kalangan umat Islam yang jahil ialah fahaman pluralisme agama sebagai cabang daripada kesesatan Islam liberal, menyusup secara diam dan pantas dalam akar ummah di pelbagai lokasi dan kondisi. Iaitu fahaman yang menyatakan bahawa semua agama adalah sama yakni benar belaka. Filem ini dengan halus meracuni umat Islam, dengan gabungan karyawan pelbagai agama dan bangsa bukanlah lesen untuk mereka menimbulkan kerancuan berfikir kepada generasi muda umat Islam negara ini.

Isu menyanggah pluralisme agama bukanlah perkara baru, antara yang pernah menjadi isu ialah tentang sambutan Kongsi-Raya iaitu menyambut perayaan agama secara bersama-sama di antara agama-agama di Malaysia (Islam, Hindu, Cina dan Kristian). Sekalipun telah ditegur oleh mufti dan para ulama dalam Muzakarah Ulamak 2006 (13 Jun) di Perak sebagai bertentangan dengan Islam, namun golongan Islam liberal menolak pandangan mufti dan ulama-ulama tersebut dan menuduh mereka jumud, kolot, dogmatik atau berfikiran tertutup.

Menjadi ujian kepada umat Islam dizaman kerajaan madani versi Anwar ini untuk membantah elemen-elemen liberalisasi dan sebarang usaha meremehkan agama secara halus. Jangan biarkan anak-anak muda disuntik dengan racun orientalis Barat dan dibiarkan hanyut dalam menentukan kebenaran agama. Filem adalah agen propaganda dan alat kemusnahan fikrah jika tak dikawal oleh penguasa yang beriman, ya kita sedang menempuh zaman edan yang mengkesampingkan nilai akidah dalam kehidupan muslim!.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)
DrAbu Zahra