• Fri. Mar 1st, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Fitnah blogger PAS: Pemimpin DAP pohon maaf, bayar kos

Dec 5, 2023
Spread the love

Pemimpin DAP Perak, Ahmad Tarmizi Mohd Jam bersetuju memohon maaf dan membayar kos tindakan mahkamah berhubung dengan saman fitnah penulis blog penyokong PAS, Omakkau terhadap beliau.

Persetujuan tersebut dicapai dalam perbicaraan kes saman tersebut pada 4 Disember 2023 di Mahkamah Seksyen, Shah Alam di hadapan hakim YA Nurul Husna Awang.

Saman oleh Omakkau yang juga pemilik akaun Facebook dengan nama Hanisya Abdul Hamid berhubung kata-kata Ahmad Tarmizi selaku Defendan yang boleh difahami memberi maksud Omakkau adalah laskar siber ‘Red Bean Army’ (RBA).

Hantaran Defendan di aplikasi sosial Facebook menyatakan ‘Rupa2nya Omakkau adlh cybertrooper RBA yg dibayar upah oleh Rosmah’ bertarikh 10 September 2020 serta beberapa kiriman lain telah menimbulkan komen secara terbuka atas kata-kata tersebut yang mencemuh dan mempersendakan beliau.

Dalam tuntutan yang difailkan Hanisya, kata-kata terbitan Defendan ditujukan kepada Plaintif sebagai laskar siber RBA dan mempunyai kaitan dengan DAP serta menerima upah daripada parti tersebut sebagai ‘cybertrooper’.

Plaintif juga mendakwa kiriman tersebut adalah fitnah yang memberi maksud beliau turut mendapat upah daripada Datin Seri Rosmah Mansor untuk menguruskan publisiti dan liputan media terutamanya di media sosial untuk menjaga imej isteri bekas Perdana Menteri tersebut serta sebagai punca pendapatan beliau.

Dakwa Hanisya, terbitan tersebut disifatkan fitnah berniat jahat yang ditujukan kepada Plaintif, selain komen terhadap kiriman tersebut telah merosakkan kredibiliti, perwatakan dan reputasi beliau sebagai seorang aktivis sosial dan politik, juga telah mengalami cemuhan, kebencian dan penghinaan awam.

Menurut beliau, Defendan berniat jahat menerbitkan kata-kata tersebut tanpa memverifikasikan sumber maklumat dan bertindak secara melulu tanpa menghiraukan perasaan Plaintif dan langsung tidak memohon maaf walaupun diminta berbuat demikian.

Hanisya juga mendakwa telah ditohmah, dicaci serta mengalami aib, malu dan trauma lalu mengarahkan peguamnya untuk menghantar tuntutan bertarikh 28 September 2020 supaya Ahmad Tarmizi memohon maaf, namun gagal dipenuhi dan dipandang sepi. Writ saman bagi kes ini dikeluarkan pada 6 Oktober 2020.

Menurut peguam beliau, Mohd Jamil Yaacob, persetujuan yang direkodkan di hadapan YA Hakim dalam prosiding mahkamah tersebut adalah defendan iaitu Ahmad Tarmizi membuat permohonan maaf kepada Plaintif dalam Facebook milik Defendan dalam tempoh tiga hari dari tarikh perintah berkaitan penerbitan beliau tersebut.

Selain itu, Defendan juga perlu membayar kos tindakan tersebut kepada Plaintif sebanyak RM5,000 dalam masa 30 hari dari tarikh perintah mahkamah.

Turut mewakili Plaintif adalah peguam Mohd Kamarulzaman Jusoh daripada Tetuan Srihana Mohamad & Partners.

Hanisya melahirkan perasaan bersyukur atas permohonan maaf tersebut. Menurut beliau, tindakan saman tersebut diambil bukan atas faktor perolehan wang, namun untuk menegakkan kebenaran dan kejahatan fitnah yang cuba dihamburkan oleh pemimpin DAP tersebut di khayalak media.

“Omak mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada barisan peguam, keluarga, NGO, rakan-rakan yang banyak memberikan kata-kata semangat, masa, kewangan sepanjang urusan saman ini, juga sokongan padu daripada penyokong PAS dan PN,” ujar beliau lagi.

Untuk rekod, Ahmad Tarmizi adalah ahli politik yang pernah menjadi calon PH-DAP di Parlimen Gerik pada PRU-15 lepas. Beliau juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Penaja Cawangan Parlimen Parit.

Sebelum menyertai DAP pada September 2022, beliau adalah Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara Wilayah Persekutuan dan calon parti itu pada PRU-14 di Parlimen Parit. Namun beliau tewas dalam kedua-duanya PRU tersebut.

Beliau juga adalah bekas pengarang akhbar Harakah serta pernah menyandang jawatan Naib YDP PAS Kawasan Batu sebelum meninggalkan parti tersebut selepas Muktamar Tahunannya kali ke-61 tahun 2015.

Ahmad Tarmizi diwakili oleh Tetuan Faiz Fadzil & Co dalam kes tersebut. (Media Fastaqim)