• Fri. Feb 23rd, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Fitnah rasuah MBI, skrip rekaan terancang oleh pihak tertentu

Jul 20, 2023
Spread the love

SERANGAN FITNAH RASUAH MBI, SUATU SKRIP REKAAN ISU YANG TERANCANG DARIPADA PIHAK TERTENTU

Tajuk fitnah yang terbaru ialah rasuah RM13 juta yang disabitkan ke atas CEO MBI berkaitan REE di Sik.

Peliknya hampir semua media melaporkan skrip berita yang sama. Lebih meragukan jalan cerita yang berbelit dan kabur dibuat asalkan ada tertera rasuah, ada nilai dan ada sang pelaku. Maka cerita rekaan rasuah akan dinampakkan benar-benar wujud untuk menarik orang ramai baca dan percaya. Letak pula gambar baju oren sambil bergari.

Modus operandi propaganda seperti ini banyak dilakukan oleh pihak inteligen barat dalam mendapatkan restu atau menenangkan rakyat atas tindakan kerajaan yang semberono untuk menjatuhkan musuh atau lawan kerajaan.

Serangan fitnah bertubi-tubi ini lebih kepada bertujuan meletihkan dan melemahkan psikologi Sanusi dan pasukannya. Selain sosok tubuh Sanusi dihalakan serangan, ahli keluarga rapat dan sahabat baik Sanusi turut tidak akan terlepas dari diserang.

Dalam isu rasuah MBI berkaitan REE nilai rasuah RM13 juta adalah bersamaan dengan kes SPRM yang pernah disiasat sebelum ini iaitu keraguan mengenai pemindahan RM13 juta daripada akaun MBI ke akaun bank di Kanada semasa zaman Mukhriz sebagaimana dilaporkan oleh Sanusi pada September 2021.

Seterusnya wanita pemilik syarikat yang telah diberikan kelulusan untuk menjalankan projek pembangunan ladang hutan sejak 2016 telah dikatakan membayar jumlah wang yang banyak kepada ‘PIHAK BERKUASA TERTENTU’ sebagai sogokan bagi melindungi kegiatan perlombongan haram di Sik.

Persoalannya siapa yang menyogok dan siapa menerima sogokan. Siapakah pula ‘PIHAK BERKUASA TERTENTU’ yang dipetik dalam skrip laporan berita tersebut. Bagaimana pula organisasi seperti MBI mempunyai kuasa untuk melindungi kegiatan haram syarikat terbabit.

Jelaslah sudah bahawa skrip kisah rasuah ini adalah rekaan bertujuan meracun pemikiran penyokong-penyokong PN khususnya sokongan terhadap Sanusi.

Gelombang rakyat yang dilihat semakin hari semakin membesar benar-benar merisaukan pihak kerajaan PH-BN yang dilihat rakyat sebagai kerajaan gagal.

Ada 2 tujuan utama skrip rekaan rasuah ini perlu segera dihidangkan kepada rakyat. Pertama ialah bagi menutup isu-isu rakyat seperti nilai RM yang tidak stabil, carta bursa saham yang masih merosot, harga barang yang semakin melonjak serta kos sara hidup yang meningkat.

Tujuan kedua skrip kisah rekaan rasuah ini dihidangkan bagi menampakkan kelemahan pihak PN serta memalitkan dengan kesalahan rasuah. Pada ketika ini stigma isu rasuah melekat kuat kepada pihak PH-BN khususnya orang kuat Anwar iaitu Zahid dengan 47 kes.

Asalkan disebut rasuah sahaja pasti ikon Zahid akan terbayang di fikiran rakyat. Tambahan pula ikon rakyat seperti Lim Guan Eng dengan kes rasuah terowong dan rasuah asrama perbicaraan masih berjalan serta Sivakumar isu RM97 juta masih dalam siasatan.

Maka dalam menghadapi PRN bulan Ogos ini isu rasuah wajib dipalitkan kepada pihak PN bagi dijadikan modal terbaik untuk pihak PH-BN berkempen menyerang PN. Ini kerana “MELAWAN RASUAH” adalah tagline utama kepada Anwar tetapi takkanlah hendak melawan rasuah tetapi isunya berlegar dalam kalangan pemimpin PH-BN pula.

Apapun serangan fitnah terbaru ini masih belum cukup untuk meracun pemikiran rakyat untuk tidak menyokong Sanusi sang Harimau Kedah yang juga terkenal dengan pelbagai jolokan seperti Hero Malaya dan Panglima Rakyat.

Sebagaimana kata Sanusi semasa di Mahkamah Selayang bahawa gelombang rakyat sekarang sedang berhadapan dengan kerajaan yang ketakutan. Ketakutan kerana kerajaan Madani sudah terbayang akan kekalahan besar dalam PRN enam negeri nanti.

Isu rasuah MBI ini benar-benar menampakkan ketakutan kerajaan sehingga terpaksa merekacipta pelbagai serangan fitnah. Entahlah apa lagi idea serangan fitnah dalam minggu ini. Kelihatannya serangan kerajaan Madani ke atas Sanusi nampak tidak akan reda menjelang PRN. Bertabahlah rakyat menghadap kisah episod Sanusi yang belum tamat.

Ditulis Oleh
Abu Fateh