• Mon. Dec 9th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Gabungan NGO Islam Selangor anjur konvensyen disertai UMNO, PAS

Sep 30, 2022
Spread the love

Sekretariat Gabungan NGO Selangor dan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Selangor bergabung untuk menganjurkan KONVENSYEN NGO ISLAM SELANGOR pada Sabtu, 1 Oktober 2022 bermula jam 2.00 hingga 6.00 petang bertempat di Aras 1A, Dewan Bangunan Kumpulan Muara, Shah Alam.

Konvensyen ini akan dihadiri oleh YB Tan Sri Noh Hj Omar, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan YB Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi, Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor serta dijangka disertai seramai 200 NGO Islam di Selangor.

Objektif konvensyen ini adalah membincangkan permasalah umat Islam serta rakyat, khususnya di Selangor dalam perbagai tema seperti perundangan Islam, ekonomi keusahawan, dakwah kebajikan, pendidikan, wanita, keluarga dan anak muda serta memberi isyarat jelas keperluan penyatuan ummah dalam kalangan kepimpinan serta parti-parti politik Melayu Islam.

Konvensyen ini akan diisi dengan perbentangan utama daripada dua tokoh perundangan, iaitu Profesor Datuk Mahamad Naser Disa dan Abdul Rahim Sinwan tentang topik sumpah Rabbani dan memperkasa Mahkamah Syariah. Selain itu, 10 pimpinan NGO turut dijemput menyampaikan pidato pendek tentang tema-tema berlainan yang ditetapkan.

Suatu Resolusi NGO-NGO Islam Selangor dihasilkan melalui konvensyen ini yang akan diserahkan kepada YB Tan Sri Noh dan YB Dato’ Dr. Ahmad Yunus yang kemudiannya turut akan memberikan ucapan masing-masing. Resolusi ini dijangka turut diserahkan kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, wakil rakyat dan pimpinan politik Selangor serta seluruh pimpinan NGO-NGO berkaitan.

Seluruh NGO Islam Selangor, umat Islam yang prihatin serta pihak media adalah dijemput hadir ke konvensyen ini.

Datuk Nazilah Idris
Pengerusi Sekretariat Gabungan NGO Selangor

Wan Hairul Anuar Wan Abdullah
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Selangor