• Tue. May 30th, 2023

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Gas bocor di restoran makanan segera, 3 termasuk pegawai KKM pengsan

Oct 10, 2022
Spread the love

KUALA LUMPUR: Tiga individu termasuk dua wanita pengsan selepas terhidu bahan kimia yang bocor dalam sebuah restoran makanan segera di Jalan Pandan 2/1, Pandan Jaya, Ampang, Selangor.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.55 pagi, pada Isnin.

Katanya, anggota bomba dan pasukan dari Unit Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati terdapat dua wanita pekerja restoran terbabit telah pengsan termasuk seorang lelaki yang merupakan Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang masuk ke dalam restoran bagi membantu mangsa.

“Ketiga-tiga mangsa kemudian dikejarkan ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Menurut Norazam, pihak bomba sedang mengawal keadaan dengan tidak membenarkan orang ramai memasuki restoran berkenaan.

Siasatan kebocoran gas kimia itu sedang dikenal pasti bagi tindakan lanjut dan kesemua identiti mangsa masih belum diketahui.