Gelombang PN yang melanda negara dalam PRU15 yang lalu masih lagi tidak terpadam pasca PRU15. Kini muncul pula dua arus baharu. Dua arus inilah yang bakal memungkinkan PN mendominasi Pulau Pinang.
Dua arus ini sebenarnya rezeki tersepak bagi PN, apabila PH dan BN membuat keputusan untuk bersama dalam keadaan mengejut. Dua arus ini mula dikesan di Padang Serai dan Tioman dan ianya terus mengalir dengan lebih deras dan kuat.
Arus pertama ialah arus merah kepada putih. Ini arus yang deras tapi mengalir senyap di bawah permukaan bumi Pulau Pinang. Arus protes dan hilang kepercayaan penyokong PH tapi mereka tidak bergerak ke PN, namun memilih untuk senyap dan protes tidak puas hati.
Mereka ternyata masih waras dan ada sifat malu. Malu untuk berpelukan dengan pihak yang mereka sumpah seranah sebagai penyamun. Arus merah ke putih ini akan mengurangkan kekuatan PH.
Arus kedua pula ialah arus biru kepada hijau. Arus ini juga bergerak laju dan sudah sukar untuk ditahan. Bertalu-talu rombongan ahli BN bahkan kepimpinan akar umbi yang mula berhijrah beralih arah kepada PAS atau PN.
Betapa mereka telah rasa dikhianati oleh kepimpinan sendiri. Arus biru ke hijau ini mampu melumpuhkan Umno atau BN di Pulau Pinang sekali gus melanggar dominasi DAP atau PH.
Dua arus ini jika dicantumkan dengan gelombang PN. Silap hari bulan boleh jadi tsunami PN. Bukan sahaja dapat banyak kerusi malah mungkin dapat memimpin Pulau Pinang.
AHMAD FAHMI MOKHTAR