AFGHANISTAN, 22 JUN 2022 – Gempa bumi kuat 6.1 Magnitud menggegarkan Afghanistan malam dan awal pagi tadi membunuh sekurang-kurangnya 280 orang dan menyebabkan ratusan lagi penduduk cedera, menurut agensi berita negara itu.
Gambar yang dikongsi di media sosial menunjukkan orang ramai di atas pengusung, runtuhan dan rumah yang musnah di wilayah Paktika di timur Afghanistan.
Laporan agensi berita Bakhtar berkata angka kematian mungkin meningkat, sambil menambah lebih lebih 600 orang cedera.
Gempa itu berlaku kira-kira 44 kilometer dari bandar tenggara Khost.
“Malangnya, malam tadi berlaku gempa bumi yang teruk di empat daerah wilayah Paktika, yang membunuh dan mencederakan ratusan rakyat Afghanistan dan memusnahkan berpuluh-puluh rumah,” kata jurucakap kerajaan Bilal Karimi.
“Kami menggesa semua agensi bantuan menghantar pasukan ke kawasan itu dengan segera bagi mengelakkan malapetaka selanjutnya.”
Gegaran dirasai sejauh lebih 500 kilometer di Afghanistan, Pakistan dan India, menurut Pusat Seismologi Mediterranean Eropah, yang dipetik oleh Reuters.
Pusat itu berkata saksi telah melaporkan merasakan gempa di ibu negara Afghanistan, Kabul, serta ibu negara Pakistan, Islamabad.
Bagaimanapun, tidak ada laporan segera mengenai korban jiwa, dan kerosakan di sana, menurut BBC Urdu.
Gempa bumi – yang melanda pada waktu tengah malam dan awal pagi ketika orang ramai tidur – berukuran 6.1 Magnitud pada kedalaman kira-kira 51 kilometer, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat.
Gempa bumi boleh menyebabkan kerosakan yang ketara di Afghanistan, terutamanya di banyak kawasan luar bandar, di mana banyak tempat tinggal tidak begitu stabil atau tidak dibina dengan baik.
Afghanistan juga terdedah kepada gempa bumi, kerana ia terletak di kawasan aktif secara seismik, di atas beberapa garisan sesar termasuk sesar Chaman, sesar Hari Rud, sesar Badakhshan Tengah dan sesar Darvaz.
Dalam tempoh 10 tahun yang lalu, lebih 7,000 orang terbunuh dalam gempa bumi di negara itu, lapor Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB. Terdapat purata 560 kematian setahun akibat gempa bumi. – Agensi