Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merakamkan ucapan takziah kepada seluruh rakyat Turkiye dan Syria yang diuji dengan kejadian gempa bumi terburuk dalam sejarah bencana alam di negara tersebut.
Katanya, dilaporkan bahawa gempa bumi yang berukuran 7.8 magnitud tersebut telah meragut lebih 3,800 nyawa setakat ini dan lebih 13,293 lagi dilaporkan cedera sementara usaha pencarian mangsa masih lagi berlangsung.
Kejadian gempa bumi tersebut juga, ujarnya turut mengakibatkan banyak kemusnahan harta benda, bangunan dan kediaman di wilayah-wilayah yang terkesan akibat kejadian tersebut seperti di Gaziantep, Osmaniye, Malatya, Adiyaman, Diyarbakir, Adana, Kilis dan Sanliurfa.
“Insya-Allah, Parti Islam Se-Malaysia akan menggerakkan bantuan melalui PASRelief,” ujarya menerusi laman sosial beliau, hari ini.
Menurutnya, usaha itu sudah mula digerakkan dan satu gabungan NGO telah dibentuk untuk menyelaras bantuan bencana gempa bumi dengan kadar segera.
“Semoga Turkiye, Syria dan warga kedua-dua negara berkenaan dilindungi dan dirahmati Allah SWT,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.