GEORGETOWN – Dua lelaki dipercayai geng kongsi gelap ditahan selepas memeras ugut seorang peniaga di tapak gerai perayaan Thaipusam di Jalan Utama di sini pada jam 4 pagi, Jumaat lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kedua-dua suspek ditahan selepas polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, dua suspek berusia lingkungan 20an itu dikatakan tidak membenarkan peniaga tersebut berniaga di situ lalu mengugut mahu merosakkan gerainya.
“Selepas menerima laporan daripada seorang lelaki, kita menahan dua lelaki tidak jauh dari lokasi kejadian. Pemeriksaan pada badan suspek mendapati, kedua-duanya mempunyai tatu yang menandakan mereka ini adalah ahli kongsi gelap daripada sebuah kumpulan.
“Mereka juga dipercayai berada dalam keadaan mabuk ketika melakukan peras ugut ke atas peniaga tersebut. Kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga 7 Februari ini untuk siasatan lanjut,” katanya selepas meninjau perarakan Thaipusam di Jalan Kebun Bunga di sini pada Ahad.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.