• Thu. Feb 6th, 2025

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Geng Ustaz ceria bersua Tuan Guru

Jan 25, 2022 ,
Spread the love

25 orang barisan kepimpinan Pertubuhan Pendokong dan Pencinta Ulamak atau Geng Ustaz (GU) baru-baru ini diberi penghormatan bersua dengan Tuan Guru Tan Sri Hj Abdul Hadi Awang, Presiden PAS. Pertemuan tersebut diadakan di Pejabat Agung PAS atas jemputan Tuan Guru sendiri kepada GU.

Meraikan penghormatan, semua Ahli Jawatankuasa (AJK) menapak lebih awal ke Aras 5, bangunan tersergam gagah di Jalan Raja Laut tersebut. Jam 3.15 petang, 15 minit sebelum detik pertemuan, semuanya sudah tetap di kerusi bilik mesyuarat. Sabar menahan dingin bilik, namun tidak sabar untuk bertemu mata dengan tokoh ulama dunia disayangi ramai itu.

GU diketuai sendiri oleh Presidennya, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani serta Timb. Presiden I, Ustaz Mokhtar Senik. Untuk rekod, GU adalah NGO yang didaftarkan pada 18 September 2014 oleh para ilmuwan Islam, pendakwah dan pencinta ilmu dengan fokus kepada misi dakwah, kebajikan serta pendidikan kepada Muslim dan non-Muslim. GU juga antara pertubuhan yang aktif menangkis serangan musuh terhadap kredibiliti dan ketokohan ulama.

Tepat jam 3.30 petang, pintu bilik itu dibuka. Sambil sapaan salam dilontarkan, Tuan Guru bergerak masuk segak dengan raut muka yang ceria. Turut serta empat pegawai di Pejabat Presiden dan wakil GU negeri-negeri. Semua AJK GU yang semuanya lantas berdiri, kini duduk selepas Tuan Guru melabuhkan diri ke kerusi pengerusi. Masing-masing merasa sangat gembira dengan undangan hadir pada petang itu.

Pengacara, Hj. Wan Hairul Anuar Abdullah yang juga Timb. Presiden II GU memulakan majlis dengan Ummul Quran, lalu mempersilakan Ustaz Ahmad Dusuki untuk memberi ucapan. Presiden GU menzahirkan penghargaan atas jemputan Tuan Guru, selain menjelaskan objektif penubuhan GU termasuklah mendokong perjuangan ulama dalam menegakkan Islam di Malaysia, khususnya melalui harakah PAS.

Selang lima minit, Tuan Guru dijemput untuk memberikan taujihat. Bilik seakan membisu. Minda tiada yang melayang. Semua mata tertumpu Ayah Chik, panggilan mesra kepada Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri ini.

Ternyata Tuan Guru tidak menghampakan. Serak Tuan Guru sangat berkarisma. Bait butirannya jelas. Bak si ayah melontarkan nasihat dan harapan pada anak-anak. Tuan Guru menjelaskan situasi semasa dan isu-isu dunia Islam, disulami pedoman sirah Nabawiyah.

Kadang-kadang, ketawa kecil keluar daripada Tuan Guru bila menyentuh gelagat politikus negara. Suara tegas kedengaran bila menyentuh nama DAP. Nada keikhlasan bila berbicara isu kerjasama Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional. Paling nyata, Tuan Guru sangat sayangkan Islam dan umatnya. Apa-apa strategi parti, biarlah Islam yang untung, umat Melayu Islam yang tidak rugi.

45 minit berlalu dengan cepat. Tuan Guru menghentikan bicara untuk memberi laluan kepada ruang komunikasi dua hala. GU soal, Tuan Guru jawab. Banyak soalan dilontarkan. Ada yang biasa, ada yang luar biasa. Namun, semua soalan diberi perhatian, diberi pencerahan, diberi jawapan berasaskan realiti dan hati murni – tanpa berselindung.

Harapan Tuan Guru sangat besar terhadap GU. Sementelah, GU juga punya tanggung jawab yang besar dalam mengerakkan harakah dan dakwah Islam. Ujar Tuan Guru, walaupun sebagai makmum, ia perlu berperanan menegur imam jika terdapat kesilapan.

Kepada fitnah, GU perlu bersabar. Jangan renggang saf, nanti syaitan akan mencelah, pesan Tuan Guru. Pada sisi lain, Tuan Guru sangat yakin Islam akan diberikan kemenangan dengan taktik dan strategi politik dari masa ke semasa. Justeru, GU perlu merealisasikan kemenangan ini dengan usaha dan langkah mendepani masa.

Majlis berakhir sekitar jam 5.30 petang. Dua jam bersua mata diakhiri dengan sesi fotografi. Beberapa pertemuan susulan diutarakan jika diizin-Nya. Sebelumnya, Tuan Guru telah bersetuju untuk memenuhi permintaan bersama sekali lagi, kali ini dalam program ‘retreat’ GU yang bakal diadakan pada tahun ini.

Ketika melangkah keluar daripada bangunan PAS itu, hujan gerimis mula menyapa bumi. Mungkin meraikan saat kegembiraan tetamu Tuan Guru petang itu. Tapi, yang pasti GU diberikan misi dan harapan besar untuk bergerak membantu jamaah ini. Kini, langkah bertenaga GU perlu lebih jauh ke hadapan. (Media Fastaqim)