• Wed. Nov 29th, 2023

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

GTA kata ‘Konsep Rahmah’ idea Tun Mahathir bukan Anwar

Apr 24, 2023
Spread the love

Konsep ‘Rahmah’ yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan didakwa bukan daripada idea Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaliknya merupakan gagasan Tun Dr Mahathir Mohamad semasa menjadi Perdana Menteri ketujuh.

Timbalan Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA), Mahdzir Ibrahim berkata, konsep dan perkataan ‘Rahmah’ telah dan sedang digambarkan sebagai idea Anwar di bawah konsep Madani sedangkan perkara itu tidak benar sama sekali.

“Bagi saya naratif ini satu kesilapan yang menjolok mata, malah jatuh ke tahap pembohongan intelektual yang melampau dan tidak tahu malu.

“Rahmah bermula oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Lebih tepat lagi, gagasan baru ini disebut oleh Mahathir dalam ucapan perasmian Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat kebangsaan di Kota Kinabalu pada 16 Februari 2020,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dr Mahathir ketika berucap dalam perasmian tersebut berkata, kerajaan bersetuju agar gagasan Rahmah dijadikan sebagai dasar pentadbiran Islam Model Malaysia.

“Ini berteraskan Maqasid Syariah dan Rahmatan Lil ’Alamin yang bersifat universal, inklusif, telus dan menyantuni, bertepatan dengan suasana, adat serta budaya bangsa Malaysia sendiri.

Dalam konteks itu katanya, gagasan Rahmah diikat dengan WKB 2030 juga diselarikan bersama Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023 sebagai pemacu kepada agenda kerajaan yang lebih besar dan terancang.

“Kesimpulannya, naratif Rahmah ini sebenarnya bukan cetusan idea kerajaan Madani apatah lagi Anwar seperti yang digembar-gemburkan.

“Maka, naratif ini perlu diperbetulkan kerana gagasan Rahmah tidak memerlukan ‘Menu Rahmah’, ‘Simen Rahmah’, ‘Tol Rahmah’ dan sebagainya.

“Pastinya selepas ini akan ada lagi perkara dan benda dirahmahkan,” katanya.

Sinar Harian