Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, YB Dato’ Ahmad Yahaya menyeru ahli supaya jangan berpecah dan memberikan ketaatan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan.
Seruan itu dilafazkan dalam program Badar al-Kubra di Kompleks PAS Kapar yang dianjurkan oleh Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor.
Program yang bermula jam 6.30 petang tersebut dihadiri oleh YB Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi, Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, timbalannya yang juga YDP PAS Kawasan Kapar Ustaz Noor Najhan Mohamad Salleh dan kepimpinan negeri dan kawasan-kawasan.
Menurut Dato’ Ahmad lagi, dalam menghayati peristiwa Badar al-Kubra, setiap ahli PAS perlu menghadamkan tujuan dan cita-cita jamaah bagi menegakkan kebenaran sehingga sebati menjadi darah daging dalam batang tubuh perjuangan.
Justeru, semangat kemenangan dan kesediaan menghadapi lawan politik perlulah dihayati selain sentiasa ingat kepada Allah SWT dengan hati yang ikhlas.
Sebelum pengisian tersebut, program dimulai dengan tahlil, dan kemudian diikuti dengan jamuan berbuka puasa dan solat tarawikh bersama-sama.
Turut hadir adalah 10 wakil daripada setiap 22 kawasan seluruh Selangor. (Media Fastaqim)