• Fri. Feb 23rd, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Hanya 30 peratus syarikat di Selangor bayar zakat perniagaan

Apr 14, 2023
Spread the love

SHAH ALAM – Hanya 30 peratus syarikat di Selangor menunaikan zakat perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Mohd. Sabirin Mohd Sarbini berkata, keadaan itu berkemungkinan disebabkan wujud kekangan khususnya syarikat yang mempunyai ramai pemegang saham.

Kata beliau, situasi itu menyebabkan syarikat terbabit memerlukan persetujuan semua pemegang saham selain kemungkinan terdapat kekangan lain berdasarkan kedudukan kewangan.

“Daripada segi bayaran zakat perniagaan di Selangor, LZS melihat masih ada ruang lagi kepada syarikat-syarikat menunaikan tanggungjawab zakat perniagaan mereka.

“Kami menggandaikan buat masa ini, hanya sekitar 30 peratus syarikat yang tunaikan zakat,” katanya ketika temui pemberita pada majlis iftar bersama Muzakki dan Penyerahan Zakat Ramadan (IMTIYAZ) 2023 di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, LZS menerima zakat perniagaan daripada 47 syarikat termasuk pengeluar zakat individu berjumlah RM3,272,731.

LZS turut menyerahkan bantuan zakat kepada empat individu dan institusi dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM29,217,330.

Dalam pada itu, Mohd. Sabirin berkata,sebanyak sembilan majikan menerima pengiktirafan Muzakki (IKTIRAF) kerana bersama-sama LZS menyantuni golongan asnaf melalui komitmen menunaikan zakat perniagaan dan zakat pendapatan.

“Mereka juga membayar melebihi jumlah dengan mempunyai empat kategori iaitu belian yang melebihi RM1 juta, manakala emas untuk bayaran zakat perniagaan berjumlah antara RM500,000 hingga 999,000.

“Selain itu, adalah kategori perak (RM100,000 hingga 499,000) serta gangsa (RM50,000 hingga RM99,000). Mereka (penerima) cemerlang dari segi komitimen mereka secara berterusan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE