• Mon. Apr 28th, 2025

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

“Hanya berhenti sementara, saya tak akan sertai UMNO” – Dr. Khairuddin

Mar 16, 2022
Spread the love

SHAH ALAM, 16 MAC 2022 – Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menjelaskan beliau hanya berhenti sementara sebagai ahli PAS dan tidak akan sama sekali menyertai UMNO atau menubuhkan parti baharu.

Beliau juga menegaskan tidak akan melepaskan jawatannya sebagai Ahli Parlimen dengan baki penggal parlimen yang ada untuk dibubarkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan akan ‘membayar’ kifayah sumpah baiah yang dibuat sebagai Ahli Parlimen.

Katanya, tindakannya bukan keluar atau meninggalkan terus parti itu sebaliknya akan kembali semula kepada PAS apabila tiba masa yang sesuai selepas misinya selesai dan diterima semula parti.

“Saya berhenti menjadi ahli ada tujuan dan matlamat tertentu yang mana saya akan mengukur keadaaan dari masa ke semasa, sehingga berjaya mengajak PAS membetulkan kepemimpinan parti dan parti menang dengan cara terbaik.

“Saya tidak akan masuk UMNO,…selagi UMNO menjadi rakan dalam Muafakat Nasional (MN), saya boleh mesra selagi UMNO terus mengikut dasar dipersetujui MN… kekal bersama menjalankan budaya politik matang sejahtera,” katanya dalam temubual khas Ruang Bicara di BERNAMA TV, malam ini.

Ruang Bicara itu dihoskan Sherkawi Jirim yang turut disiarkan melalui saluran Youtube dan Facebook BERNAMA TV.

Khairuddin yang juga bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat menegaskan beliau tidak akan mengajak ahli PAS mengikut jejak beliau sebaliknya terus istiqamah dengan PAS.

“Tidak seorang pun ahli PAS termasuk di kawasan Parlimen saya yang diajak meninggalkan parti walaupun isteri saya sendiri,” katanya menjelaskan elaun beliau sebagai ahli Parlimen akan diserahkan kepada PAS.

Ditanya sama ada tindakan beliau meninggalkan parti sebab merajuk selepas beliau digugurkan sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat parti, katanya beliau tidak merajuk dan jika merajuk sekali pun beliau sudah bertindak seawal digugurkan sebagai AJK PAS Pusat.

“Saya mengambil tindakan membakar diri kerana saya sayangkan PAS dan ahli PAS…saya sudah bersama PAS kira-kira 33 tahun sejak usia 16 tahun lagi.

“Apa mereka nak cakap itu hak mereka, saya cuma mahu memberikan pesanan AJK untuk buat yang terbaik dan jangan sia-sia kesempatan yang ada, gunakan mesyuarat dan muktamar akan datang untuk bawa cadangan dan betulkan parti bukannya bersikap menafikan atau ‘sindrom denial ‘ dan menyorok.

“Biar kita malu sekarang, tetapi tujuan asal kita kekal menjadi untuk membawa Islam secara bersama dan berkongsi keluarga dalam pemerintahan, ” katanya

Menjelaskan tindakan keluar parti itu, katanya mengambil keputusan itu bagi membolehkan beliau membetulkan PAS dari luar parti.

“Ada perkara yang saya tidak boleh cakap dan betulkan selagi saya masih dalam parti, ini kerana parti ada perlembagaan dan ada disiplinnya.

“Ada banyak kecelaruan dalam parti , saya tidak salahkan ahli, ini bukan isu membabitkan ahli akar umbi atau kepemimpinan di kawasan atau bukan Dewan Undangan Negeri (DUN), negeri tetapi ini isu pengurusan parti peringkat pusat.

“Saya sudah cuba betulkan di peringkat Jawatankuasa Pusat, melalui jawatan saya sebagai Pengarah Institut Strategik PAS Pusat dan ahli Majlis Syura Ulamak selaku Setiausaha .

“Segalanya perkara sudah saya bawa melalui saluran yang ada dan kemukakan dan bincangkan secara dalaman, tetapi dibocorkan dan menjadi fitnah kepada saya, sedangkan sebagai ahli parti saya menjalankan tanggungjawab dan saluran yang ada tetapi kemuncaknya digugurkan dan akhirnya saya mengambil keputusan berhenti sementara daripada PAS,” katanya.

Ditanya mengenai kecaman dibuat atas teguran yang beliau buat dan tindakannya meninggalkan parti itu, beliau menegaskan tidak sama sekali marah atau terguris hati dengan kecaman ahli parti.

Beliau berkata, kecaman yang diterima itu kerana ahli parti sayangkan PAS dan mereka tidak tahu perkara sebenar yang berlaku dalam kepemimpinan parti.

“Apa yang berlaku kerana kesilapan menguruskan kepemimpinan parti yang mana beberapa kali sudah dibetul dan ditegur…apabila ia tidak diendahkan, maka kita tidak berjaya dalam dua pilihan raya kerana tidak ada barokah,” katanya.

Beliau menegaskan, MN yang dicapai bersama UMNO melalui jalan yang panjang dan mengikut saluran mengikut perlembagaan parti sebaliknya kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) berlaku sebaliknya.

“Kerjasama dengan PN ditandatangani oleh Presiden parti dan disaksikan beberapa AJK PAS Pusat tidak melalui keputusan AJK PAS Pusat atau disahkan Majlis Syura Ulama mahupun Muktamar PAS.

“Namun, kerjasama dengan PN ini sudah saya perbetulkan sebab itu kita gunakan slogan pertahankan MN dan perkasakan PN,” katanya.

Ditanya tindakan PAS bermain ‘dua kolam’, katanya perkara itu tidak salah jika demi keutuhan dan muafakat umat Islam dan orang Melayu kerana sudah diputuskan PAS dalam hala tujunya untuk memerangi kemaraan Pakatan Harapan (PH) yang jelas tidak memihak kepada umat Islam dalam 22 bulan pentadbirannya.