• Wed. Sep 11th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Harga makanan di Malaysia masih tinggi

Mar 25, 2023
Spread the love

SHAH ALAM, 25 MAC 2023 – Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia bagi bulan Februari 2023 kekal pada 129.8 atau 3.7 peratus, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kenaikan inflasi di Malaysia pada Februari 2023 kekal didorong oleh restoran dan hotel (7.4 peratus) dan makanan dan minuman bukan alkohol (7.0 peratus).

Namun begitu, peningkatan lebih perlahan bagi kumpulan pengangkutan iaitu 3.7 peratus berbanding Januari 2023 (4.0 peratus) sedikit sebanyak telah mengimbangi inflasi daripada terus meningkat.

“Selain itu, kenaikan inflasi di Malaysia turut didorong oleh kenaikan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3.4 peratus); pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.5 peratus) dan kesihatan (1.8 peratus),” katanya.

Perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain serta perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan masing-masing merekodkan peningkatan 1.7 peratus, manakala pendidikan mengembang 1.6 peratus, kedua-dua minuman alkohol dan tembakau serta pakaian dan kasut, masing-masing meningkat sebanyak 0.8 peratus dan 0.4 peratus berbanding Februari 2022.

Mohd Uzir Mahidin turut menambah kumpulan makanan dan minuman bukan alkhohol yang menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan Indeks Harga Pengguna (IHP) merekodkan peningkatan 7.0 peratus (Januari 2023: 6.7 peratus).

Daripada 230 item makanan, sebanyak 203 item atau 88.3 peratus telah merekodkan kenaikan harga, katanya.

Beliau berkata, komponen makanan di rumah yang menyumbang hampir 58 peratus daripada keseluruhan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol mencatatkan peningkatan lebih tinggi kepada 5.8 peratus berbanding 5.1 peratus pada Januari 2023.