• Wed. Sep 11th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Harga rumah di Malaysia dijangka naik

Mar 16, 2023
Spread the love

KUALA LUMPUR – Kumpulan teknologi hartanah global Asia, Juwai IQI mengunjurkan harga rumah kediaman di Malaysia tumbuh sebanyak lima peratus pada 2023.

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kashif Ansari berkata, Juwai IQI menjangkakan indeks harga rumah Malaysia meningkat sebanyak tiga hingga tujuh peratus pada 2023.

“Sasaran pertumbuhan lima peratus itu adalah asas rujukan kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Kashif berkata, Indeks Harga Rumah Malaysia meningkat 2.8 peratus pada 2022 yang mana harga rumah teres, rumah bertingkat tinggi dan rumah berkembar dua masing-masing naik sebanyak 3.7 peratus, 3.4 peratus dan 2.9 peratus.

Bagaimanapun, harga rumah berasingan merekodkan penurunan sebanyak 2.9 peratus, katanya.

Walaupun indeks harga rumah di Kuala Lumpur turun sedikit sebanyak 0.2 peratus, Selangor, Johor dan Pulau Pinang meningkat masing-masing sebanyak 3.4 peratus, 2.2 peratus dan 3.2 peratus.

“Kami menjangkakan permintaan terhadap rumah mampu milik kekal kukuh, yang berupaya memacu aktiviti urus niaga dalam julat harga di bawah RM300,000 sehingga suku pertama 2024,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi tahun lepas, Kashif berkata, pembeli menyelesaikan 243,190 urus niaga bernilai RM94.28 bilion, meningkat sebanyak 22.3 peratus dari segi kuantiti dan 22.6 peratus dalam nilai tahun ke tahun.