HENTIKAN POLITIK PROPA, BUDAYAKAN POLITIK MATANG DAN SEJAHTERA.
Firman Allah SWT :
وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهٖ عِلْمٌ ۗاِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ اُولٰۤىِٕكَ كَانَ عَنْهُ مَسْـُٔوْلًا.
Mafhumnya : “Dan janganlah kamu mengikuti (termasuklah menyatakan atau melakukan) sesuatu yang tidak kamu ketahui. Kerana pendengaran, penglihatan dan hati nurani, semua itu akan diminta pertanggungjawabannya (dipersoalkan)”.
Surah Al-Isra’ : 36
Mutakhir ini kita dapat perhatikan bahawa politik kebencian kepada pihak yang tidak sehaluan mula disuburkan. Tuduhan yang tidak disertakan dengan pembuktian, semata-mata untuk memperlihatkan kelemahan pihak lain yang kadang-kadang tidak wujud bahkan hanya manipulasi isu semata-mata untuk mempengaruhi pemikiran dan persepsi negatif masyarakat terhadap pihak tersebut.
Keadaan ini adalah suatu yang negatif kepada generasi akan datang di mana mereka terdedah kepada politik persepsi yang dibina di atas pembohongan. Umpama kata pepatah “siakap sinohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri”. Kepimpinan melalui teladan hendaklah dibangunkan semula melalui pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera BPMS.
Mewujudkan propaganda konon Perikatan Nasional PN mendapat Dana Pilihanraya daripada duit judi dan pelbagai lagi adalah tuduhan tidak berasas dan semata-mata propaganda yang dibina di atas dasar kebencian. Ini akan menambahkan lagi jurang perbezaan yang boleh mengakibatkan pertembungan yang berpanjangan.
Kerajaan seharusnya lebih fokus kepada usaha pembangunan dan pemulihan ekonomi rakyat dan negara pasca pandemik covid-19. Berusaha untuk menambahkan peluang pekerjaan serta mengawal bekalan dan kenaikan harga barangan keperluan rakyat.
PAS Johor menyeru kerajaan dan semua pihak agar menghentikan politik fitnah dan propaganda. Amalkan budaya politik matang dan sejahtera terhadap semua pihak. Ianya selari dengan prinsip kemanusiaan dan adab timur. Ianya adalah tuntutan Agama Islam sebagai Agama Persekutuan.
‘Malaysia Sejahtera’
Abu Irfan Muhammad Al-Urduni,
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor.
4 Jamadil Akhir 1444
28 Disember 2022