Himpunan Kesatuan Alam Melayu (HIKAM) d’Langkawi akan diadakan pada Rabu, 24 Mei 2023 di The Lab, Langkawi dengan Sembang Santai bersama YAB Menteri Besar Kedah.
Bertepatan berlangsungnya LIMA 2023, HIKAM d’Langkawi berobjektif memartabatkan jati diri kemelayuan Islam serta mempromosi budaya warisan kepada etnik lain.
Program ini dianjurkan oleh NGO Geng Ustaz dengan kerjasama Pejabat MB Kedah dan pelbagai agensi dan NGO serta disokong oleh gerakan Proklamasi Orang Melayu pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad. Segenap lapisan masyarakat dijemput hadir.
Info lanjut di hikam.net dan facebook.com/himpunanhikam
Pertubuhan Pendokong dan Pencinta Ulama (Geng Ustaz) adalah pertubuhan NGO berdaftar yang diwujudkan untuk meneruskan kesinambungan perjuangan para ulama’ sejak dahulu, termasuklah di Alam Melayu Islam melalui pelbagai aktiviti sosial, politik, ekonomi dan sebagainya.
Geng Ustaz akan menganjurkan satu festival perdana yang diberi nama Himpunan Kesatuan Alam Melayu (HIKAM) d’Langkawi pada Rabu, 24 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H bertempat di The Lab (The Langkawi Art Box), Pulau Langkawi, Kedah bermula jam 4.40 petang hinggalah 11.00 malam dengan perasmiannya oleh YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah.
HIKAM d’Langkawi diadakan dengan objektif untuk memberi kefahaman dan mempromosi kepada peserta tentang keunikan budaya warisan Melayu Islam di Malaysia, selain memartabatkan jati diri kemelayuan dalam kalangan masyarakat Melayu Islam serta menarik minat masyarakat bangsa lain.
HIKAM d’Langkawi menyasarkan penyertaan lebih kurang 10,000 peserta yang terdiri daripada pimpinan masyarakat, ahli-ahli NGO, parti-parti politik dan segenap lapisan masyarakat umum khasnya di Langkawi termasuklah anak muda dan belia.
Penganjuran HIKAM d’Langkawi bersesuaian dengan program Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition (LIMA) 2023 kali ke-16, lantas dapat mempromosikan kebudayaan Melayu serta mengangkat daya tarikan keunikan budaya warisan masyarakat Malaysia ke persada dunia.
Antara acara dalam HIKAM d’Langkawi adalah persembahan kebudayaan warisan Melayu, pameran alatan traditional, silat, busana serta bicara sejarah tamadun Melayu Langkawi, selain jamuan rakyat dengan juadah istimewa orang Melayu dan gerai-gerai jualan.
HIKAM d’Langkawi juga diserikan dengan Bacaan Yaasin Perdana, Munajat Langkawi Sejahtera serta Persembahan Qasidah Soutul Nabawi yang turut disertai oleh beberapa selebriti dakwah terkenal tanahair.Acara kemuncak dalam HIKAM d’Langkawi adalah Sembang Santai yang menampilkan YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah dan Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani, Presiden Geng Ustaz yang berbual mesra serta bersoal-jawab dengan hadirin.
Resolusi HIKAM d’Langkawi dihasilkan melalui festival ini akan diserahkan kepada YAB Menteri Besar Kedah, wakil-wakil rakyat dan pimpinan politik serta seluruh pimpinan NGO-NGO berkaitan, selain penganjuran HIKAM ini akan diteruskan pada edisi berikutnya di negeri-negeri lain.
Seluruh lapisan masyarakat, NGO dan pengunjung LIMA 2023 tanpa mengira usia, agama, bangsa mahupun parti politik serta pihak media adalah dijemput hadir ke HIKAM d’Langkawi ini.
Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani
Presiden Geng Ustaz
19 Mei 2023